Jumaat, 4 Disember 2015

Apa dosa Muhyiddin?



Oleh Subky Latif 


MAKA bertanya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, apa dosanya lalu dia tidak dijadualkan merasmi perhimpunan serentak ketiga-tiga sayap Umno – Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri?

Sejak ditubuhkan Umno selepas perang dunia kedua dulu, secara tradisinya Timbalan Presidenlah yang merasmikan sayap Umno itu. Dan sejak Muhyiddin jadi Timbalan Presiden selepas tahun 2009, dialah yang merasmikannya.

Tiada sebarang takwil daripada ketiga-tiga sayap tentang apa yang disaran dan diamanatkannya.

Baru sekali inilah Umno memecah tradisi itu atau melanggarnya.

Tiada apa dosanya yang diketahui selain dia dikira derhaka kepada Perdana Menteri Najib yang disokongnya menggantikan Tun Abdullah Badawi tahun 2009 dulu.

Dosanya kepada Perdana Menteri dia dilucutkan daripada Timbalan Perdana Menteri. Tetapi pengguguran jawatan itu tidak membabitkan kedudukannya dalam Umno. Kerana Perdana Menteri adalah Presiden Umno, maka dosa atas Perdana Menteri itulah dia tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawabnya.

Kalau merasmikan perhimpunan parti itu dikira tugas dan tanggungjawab kepada kerajaan, menghalang pegawai menjalankan tugasnya boleh didakwa di bawah kesalahan rasuah, seperti dakwaan yang pernah dihadapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa jadi Timbalan Perdana Menteri dulu.

Kerana dia dikatakan menghalang pegawai polis menjalankan tugas, dia dipecat daripada TPM dan kemudiannya didakwa.

Kalau kesalahan pada kerajaan iu boleh dipakai pada Umno, maka orang menghalang Muhyiddin menjalan tugas Timbalan Presiden parti boleh didakwa.

Tetapi siapa boleh berbeza dengan Najib? Baik dalam kerajaan mahu pun dalam parti. Ikut prinsip demokrasi sempurna dan pentadbiran politik yang adil. Berbeza dengan Perdana Menteri dan kerajaan, berbeza dengan ketua parti dan parti adalah hak asasi rakyat dan ahli. Dibenarkan rakyat berbeza pendapat dengan kerajaan dan ketua kerajaan. Dibenarkan ahli parti berbeza dengan parti dan pemimpin parti.

Menjalankan hak rakyat dan hak ahli tidak dikira berdosa dan menderhaka kecualilah sabit khianatnya.
Lainlah terhadap Raja Mutlak seperti zaman silam. Berbeza sikitpun dengan kemahuan Raja sudah derhaka dan boleh dihukum – pancung, sula atau buang negeri.

Jika Najib adalah pemimpin parti dan kerajaan yang dipilih, dia boleh gugur anggota kabinet tapi ada risiko atas tindakannya itu. Orang boleh pertikai kebijaksanaannya. Jika dia Raja Berperlembagaan, dia hanya boleh buat sesuatu atas nasihat Perdana Menteri/Menteri Besar.

Tetapi jika dia Raja Mutlak, dia buat apa saja, dan pantang ia ditakwil. Sebarang takwilan adalah derhaka dan khianat. Politik seperti itu sama seperti dengan pentadbiran komunis semasa Stalin di Rusia, Mao Zedung di China dan Khieu Samphan di Kampuchea.

Siapa dalam Umno selain dari Dr. Mahathir berani sentuh Najib apa lagilah mencelanya? Mana ada pegawai berani main-main dengannya melainkan terima nasib seperti TS Gani Patail. Ditamat khidmat serta merta. Itu nasib orang makan gaji.

Muhyidin tidak makan gaji. Dia Umno yang berketuakan Najib. Dia berani nyatakan perbezaan. Pemimpin tertinggi Umno pertama tunjukkan perbezaan.

Kerana Najib bukan lagi ketua politik demokrasi bahkan Raja Mutlak jadian, maka Muhyidin sudah jadi pemimpin tertinggi Umno yang hilang bisa dan daulat sekalipun masih jadi Timbalan Presiden. Orang Umno sekarang bukan lagi ahli parti yang ada hak, tetapi lebih teruk daripada status hamba jelata yang tiada lagi jati diri.

Yang dialami itu mungkin isyarat segera dekatnya hari Umno di penghujung jalan.

Tiada ulasan: