Khamis, 10 Disember 2015

Anina rayu keputusan mahkamah kekal pemecatannya

Hafiz Yatim


 


Bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin hari ini memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan mahkamah itu pada hari Isnin yang mengesahkan pemecatannya daripada parti itu.

Notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada jam 10.07 pagi ini untuk mencabar keseluruhan keputusan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, S Nantha Balan.

Ia difailkan oleh peguam Anina itu, Haniff Khatri Abdulla.

Rayuan itu difailkan ketika perhimpunan agung Umno (AGM) masuk hari kedua hari ini dengan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikanya pagi tadi. AGM Umno itu akan berakhir pada hari Sabtu.

Pada hari Isnin, Nantha Balan membenarkan permohonan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Datuk Abdul Rauf Yusoh untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Anina terhadap mereka bagi mencabar surat bertarikh 1 September yang mengumumkan pemecatannya.

Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 untuk mendengar permohonan Anina untuk mencabar pemecatannya.

Mahkamah, katanya, terikat dengan keputusan sebelum ini bahawa mana-mana ahli parti yang memfailkan tindakan mahkamah terhadap parti, tidak lagi menjadi ahli parti.

Haniff berkata salinan notis rayuan telah dihantar kepada Tengku Adnan dan peguam Abdul Rauf Mohd Hafarizam Harun.

Selain memfailkan saman terhadap Tengku Adnan dan Abdul Rauf, Anina sebelum ini juga memfailkan satu lagi saman terhadap Najib dan Abdul Rauf meminta RM2.6 bilion yang telah didepositkan ke dalam akaun peribadi presiden parti itu, dikembalikan kepada parti.

Najib dan Abdul Rauf juga memohon untuk membatalkan saman itu. Ia akan didengar pada hari Isnin.

Anina juga memfailkan injunksi mareva terhadap Najib untuk membekukan aset presiden Umno itu berikutan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima daripada Timur Tengah.

Tiada ulasan: