Rabu, 23 Disember 2015

Anak tak cukup zat angkara tekanan ekonomi

 
Ibu bapa muda berdepan dengan kejutan apabila mendapati mereka tidak dapat mengikut dan mengawal perbelanjaan barangan bayi dan kanak-kanak yang semakin mahal.
 
 
susu-anak


Usah bercakap mengenai rintihan pasangan muda yang sukar membeli rumah, tidak mendapat pendapatan isi rumah yang mencukupi, atau masalah kesukaran mengumpul wang apabila perkara yang paling asas, membesarkan anak pun sudah cukup mencabar.

Jika lima tahun dahulu anda masih boleh membeli tepung susu, lampin dan barangan kebersihan seperti sabun, syampu dan losyen menggunakan RM100, kini jangan harap lagi! Entah-entah dengan RM100 yang sama, susu dan lampin pun tak lepas.

Maksudnya niat ibu bapa muda menjadi yang terbaik untuk cahaya mata masing-masing terbatas dari segi sosio-ekonomi.

Ibu bapa muda masa kini ternyata antara pihak yang paling tidak bernasib baik selepas kenaikan berantai ekoran cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga bahan api, harga barangan, pemansuhan subsidi dan lain-lain.

Semua perangkap yang menghimpit mereka dikenakan atas nama dasar kerajaan yang kononnya untuk kebaikan rakyat. Mana baiknya, saya pun tak tau!

Saban hari, seorang rakan, ibu muda kepada anak berusia 2 tahun akui terpaksa berjimat tepung susu anaknya kerana tidak tahan dengan belanja makanan ruji bayi yang mencecah RM150 untuk kegunaan tidak sampai dua minggu.

“Saya terpaksa mengubah jumlah sudu yang disyorkan daripada lima kepada hanya tiga sudu supaya dapat menyimpan tepung susu sedikit lebih lama. Saya tahu, ia akan mengurangkan manfaat nutrisi tetapi saya tiada pilihan,” katanya. Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Prema mengakui membelanjakan lebih RM300 untuk tepung susu sahaja.

Satu laporan laporan portal Roketkini pada tahun 2014 pernah melaporkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan 62% pekerja berpendapatan bulanan kurang RM2,000 sebulan.

Manakala Jabatan Statistik melaporkan, purata gaji bulanan rakyat Malaysia adalah pada kadar RM1,700.

Dikaitkan dengan kadar gaji tersebut, faham-faham sendirilah kesukaran yang dihadapi oleh pasangan muda yang bukan hanya terikat dengan belanja untuk anak, tetapi sewa rumah, kereta, makan minum sendiri, perbelanjaan pengangkutan, kesihatan, insurans (kalau ada) dan sebagainya.

Kalau pendapatan isi rumah RM4,000 sekalipun mustahil cukup!

Seorang lagi bapa muda yang baru mendapat anak sebulan lalu terkejut dengan harga barangan bayi apabila pertama kali membeli-belah untuk anak lelakinya itu.

“Saya tak sangka, saya terpaksa membelanjakan lebih satu perempat daripada gaji sekadar untuk membeli makanan dan barangan asas bayi. Mungkin selepas ini saya akan berfikir sekali dua sebelum membeli,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Kevin.

Tinjauan di pusat beli-belah dan kedai mendapati kenaikan barangan yang anak signifikan. Misalnya jika tiga hingga lima tahun dulu, lampin kanak-kanak paling murah di pasaran ialah sekitar RM22 kini ia meningkat kepada RM32.90. Itupun harga promosi dan bilangan lampin pula sudah dikurangkan.

Lebih kronik, ada juga ibu bapa yang sanggup berlaparan atau berhutang, berikutan pelbagai ‘nikmat’ polisi kerajaan yang menjurus kepada kenaikan harga.

“Saya terikat dengan beberapa kelas aktiviti tambahan di luar sekolah. Kelas bahasa Inggeris, Matematik, muzik dan sebagainya. Kami terpaksa memperuntukan hampir RM1,500 untuk perbelanjaan bulanan kedua-dua anak. Ada hari-hari saya terpaksa menelan air liur sahaja,” kata seorang lagi bapa, seorang pegawai pentadbir, Ridzuan Anas dari Klang.

Menurut Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Prof. Dr. Laily Paim, ibu bapa muda pada masa kini terpaksa mamahami paten ekonomi yang tidak menyebelahi mereka.

Katanya, tidak dinafikan kenaikan harga barang tidak selari dengan pendapatan dan ibu bapa muda perlu banyak belajar mengimbangi diri dengan economizing behaviour iaitu amalan berjimat-cermat.

“Apa yang penting buat masa ini ialah kita menetapkan apa yang perlu, penting dan berpatutan sahaja,” tambah beliau.

Akan tetapi, Dr Laily juga berpendapat pihak penguatkuasa dan kerajaan masih boleh mengawal harga barangan khususnya melibatkan barangan asas atau utama kegunaan bayi dan kanak-kanak. Beliau yakin kaedah ini jika boleh dilaksana akan memberi kelegaan selain lebih banyak ruang untuk ibu bapa muda memberikan yang terbaik untuk anak mereka.

Tiada ulasan: