Selasa, 29 Disember 2015

AMK: Lebih baik diam, Ahmad Maslan

MALAYSIAKINI


 


Kenyataan Datuk Ahmad Maslan berkaitan dua kerja rakyat Malaysia menunjukkan kerajaan mengakui bahawa isu kenaikan kos sara hidup adalah perkara serius, kata Pemuda PKR (AMK).

Bagaimanapun, kata ketua sayap itu Nik Nazmi Nik Ahmad, kerajaan sebenarnya sudah ketandusan idea untuk menangani isu ini.

“Bukan sahaja cadangan itu tidak konstruktif sebagai kaedah penyelasaian daripada pucuk pimpinan negara, malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat yang semakin tertekan menghadapi realiti kehidupan masa kini yang sudah cukup membebankan,” katanya.

Selepas dikritik keras kerana bercakap tentang dua kerja bagi menampung kos sara hidup tinggi, Ahmad (gambar) semalam mempertahankan diri dengan berkata beliau sendiri melakukan tiga kerja.

Kerja-kerja itu, katanya, sebagai anggota parlimen, timbalan menteri dan ketua penerangan Umno.

Malah, kata Ahmad, ramai rakyat Malaysia melakukan dua kerja dan berusaha gigih cari rezeki yang halal.

Dalam tweet, beliau bagaimanapun berkata, tajuk Astro Awani, media yang melaporkan kenyataan asalnya, bahawa kerajaan galakkan dua kerja itu tidak tepat.

“Saya sebut MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ) galakkan perniagaan atas talian untuk tambah pendapatan dan trend niaga terkini,” tulisnya.

Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi yang juga exco kerajaan Selangor berkata cadangan itu hanya menambahkan beban berlebihan rakyat Malaysia.

“Kami syorkan mana-mana (timbalan) menteri, seperti Ahmad Maslan, jika tidak dapat menyumbang idea atau mengeluarkan polisi yang benar-benar membantu rakyat, baiklah mendiamkan diri daripada menyakitkan hati,” katanya.

Merujuk kenyataan beliau sendiri melakukan tiga kerja, Nik Nazmi berkata Ahmad langsung tidak dapat membezakan jawatan yang dipegangnya dengan pekerjaan rakyat biasa.

 Ahmad Maslan @ahmadmaslan
Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timb Menteri, Ketua Penerangan UMNO. Ramai dah di Msia yg buat . Berusaha gigih cari rezeki yg halal

Tiada ulasan: