Sabtu, 12 Disember 2015

Ali Tinju ganggu ketua cawangan lantang Umno

MALAYSIAKINI


 


Perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kecoh seketika apabila sekumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak mengganggu sidang media sekumpulan ketua cawangan lantang Umno.

Sembilan pemimpin Umno Teluk Kemang, yang menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur, hari ini mengadakan sidang media berhubung perkembangan terkini Perhimpunan Agung Umno 2015.

Bagaimanapun ketika jurucakap kumpulan itu bercakap kepada media di luar sebuah bilik, sekumpulan ahli Umno diketuai Ketua Melayu Bersara Angkatan Tentera Veteran Mohamad Ali Baharom mula menjerit pada mereka.

Mereka menjerit "Hidup Presiden Umno" dan "Hidup Najib".

Kumpulan tersebut juga turut menggesa kumpulan ketua cawangan lantang Umno itu keluar daripada parti sekiranya tidak menyukai kepimpinan Najib.

"Hidup presiden Umno. Tak sokong presiden keluar daripada parti. Pergi masuk PKR ke DAP. Balik! Balik!” kata salah seorang daripada mereka.

Dalam sidang media itu, jurucakap kumpulan tersebut ketua cawangan Umno itu Kamarulazman Habibur Rahman mendakwa Umno kini sedang sakit tenat.

Malah, Kamarulazman berkata persidangan yang berlangsung selama lima hari itu telah gagal mencari penawar.

“Perhimpunan agung kali ini akan diingati dalam sejarah sebagai perhimpunan yang meruntuhkan Umno,” katanya.

Persidangan agung Umno 2015 masuk hari terakhir hari ini.


Tiada ulasan: