Sabtu, 5 Disember 2015

Akta MKN Boleh Jadi Senjata Makan Tuan

KALAU hasrat tersirat kerajaan meluaskan bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah bagi melindungi dan memperkukuhkan kedudukannya maka ia tentu amat berkesan.

Dengan mewujudkan sebuah akta agung (super act) untuk MKN, anggotanya akan memperoleh kuasa yang sangat luas sehingga boleh mengancam kebebasan sivil seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Demikianlah antara jawapan saya kepada soalan yang dikemukakan oleh pemberita sebuah portal berita bukan arus perdana mengenai cadangan akta itu.

Kalau tujuan akta ini adalah untuk memberikan kuasa yang lebih luas kepada pasukan keselamatan dalam menangani ancaman luar, keganasan bersenjata atau situasi darurat (macam serangan ke atas Sabah pada tahun 2013) negara kita sudah pun mempunyai undang-undang dan peraturan yang cukup.

Kita pernah melalui darurat komunis selama 12 tahun (1948-60) dan rusuhan kaum 13 Mei, 1969. Kita wujudkan undang-undang khas seperti Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menanganinya.  

Tetapi Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, sendiri yang memansuhkan undang-undang ini atas nama transformasi dan liberalisasi.

Andainya BN Kalah

 

Perdana Menteri tentu mengharap dan menjangkakan sokongan padu Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

Tetapi sebelum bertindak mengiakan rang undang-undang itu, mereka patut memikirkan kemungkinan undang-undang yang mereka wujudkan itu digunakan ke atas mereka sekiranya BN kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ramalan dan konsensus umum mengatakan BN akan kalah dalam PRU akan datang jika Mohd Najib terus menerajui kerajaan dan BN.

Seandainya itu berlaku, kerajaan yang menggantikan BN mempunyai alasan kuat menggunakan akta ciptaan BN itu untuk menyiasat, menangkap dan membicarakan anggota kerajaan yang ada sekarang.

Mereka juga pasti menyiasat ketua-ketua aparatus kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Gabenor Bank Negara serta aparacik Umno seperti Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Kerja sebagai orang yang disyaki atau saksi.

Selepas itu, kerajaan baru nanti (bukan BN) sama ada meminda atau memansuhkan akta itu supaya tidak dituduh meneruskan undang-undang kejam kerajaan BN.

Hatta kalau BN kekal sekali pun, asalkan Mohd Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, anggota kerajaan beliau serta kakitangan awam yang melakukan kesalahan atau bersubahat tetap akan berasa padah persekongkolan mereka.

Mubarak, dari Jeneral kepada pesalah


Sejarah padat dengan contoh ketua negara atau ketua kerajaan yang kalah pilihan raya atau digulingkan dalam rampasan kuasa, menderita padah yang sangat buruk.Tetapi nasib mereka tidak seburuk pegawai awam yang kerap dijadikan kambing korban. Ketua Negara atau ketua kerajaan yang hilang kuasa boleh menggunakan kekebalan (immunity) untuk mengelak daripada dipenjarakan, tetapi ada pegawai awam yang dihukum mati atau meringkuk dalam penjara.

Paling baru dan diketahui umum adalah perbicaraan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, dan anak-anaknya atas tuduhan melakukan pembunuhan, rasuah dan mensabotaj ekonomi. Turut dihadapkan ke mahkamah adalah Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai kanan polis.

Jadi Ahli Parlimen BN janganlah seronok sangat meluluskan rang undang-undang itu seolah-olah mereka menongkat langit manakala aparatus awam dan aparacik Umno perlulah sedar bahawa apabila pokok tempat mereka bergayut tumbang, merekalah yang paling teruk terhempap.

Nota kaki: Kalau tidak disekat oleh aparatus negara dan/atau diganggu oleh aparacik Umno, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, akan berucap dalam satu perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru pada Isnin 7 Disember kira-kira jam 8.30 malam.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: