Isnin, 7 Disember 2015

AG tak boleh nasihat Najib jangan jawab RM2.6 bilion

 
Peguam Negara hanya boleh menasihatkan Perdana Menteri dalam hal ehwal rasmi melibatkan kerajaan.


surendran


PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Apandi Mohamed Ali tidak layak menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjawab kontroversi dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat.

Mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara sebagai pegawai kerajaan tidak boleh menasihatkan Perdana Menteri berhubung isu peribadi dan bukan rasmi.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, sebaliknya Perdana Menteri perlu mendapatkan peguam peribadi untuk menasihatkan beliau perkara itu.

Katanya, menurut Perkara 145 (2), Peguam Negara hanya boleh menasihatkan Perdana Menteri dan menteri melibatkan isu-isu rasmi kerajaan.

“Isu dana RM2.6 billion adalah isu peribadi Perdana Menteri yang tiada kaitan langsung dengan tugas rasminya sebagai ketua kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Parlimen PKR itu menjelaskan, menurut Perkara 145 (3), Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan pendakwaan dan oleh kerana Najib menjadi subjek siasatan, maka akan wujud pertembungan kepentingan jika Peguam Negara memberi nasihat kepada Perdana Menteri.

Baru-Baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, Najib tidak hadir untuk menjawab soalan RM2.6 bilion di Parlimen atas nasihat Peguam Negara bagi mengelak subjudis terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

Soalan itu dijawab oleh Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tiada ulasan: