Ahad, 13 Disember 2015

Adakah begitu penting Muhyiddin dipecat atau tidak dari Umno?


Sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat Umno atau tidak kini tidak menjadi isu penting bagi pengundi yang lebih risaukan kos sara hidup yang semakin tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Disember, 2015. 
Sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat Umno atau tidak kini tidak menjadi isu penting bagi pengundi yang lebih risaukan kos sara hidup yang semakin tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Jika pilihan raya diadakan esok, “Umno masih akan mati”, kata dua aktivis parti yang kecewa selepas perhimpunan agung semalam. Pandangan mereka merupakan gambaran lebih besar dihadapi Umno ketika ahli dan pemerhati berdebat sama ada Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat atau tidak.

Menurut dua aktivis itu, seorang dari bahagian Ipoh Timur di Perak dan seorang lagi dari Bukit Bintang di Kuala Lumpur, nasib Umno berada di tangan pengundi yang tidak peduli apa bakal berlaku kepada Muhyiddin.

Kebimbangan utama mereka termasuk bagaimana tambang pengangkutan awam meningkat dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memberikan kesan kepada perbelanjaan. Ini merupakan isu sebenar yang akan menentukan nasib Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat benar-benar menderita di luar sana dan kita mempunyai pemimpin yang menerima berbilion ringgit dalam akaun mereka,” kata aktivis Umno dari Ipoh Timur kepada The Malaysian Insider, dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau mendakwa pandangannya dikongsi ramai ahli Umno, termasuk beribu yang menghadiri perhimpunan selama 5 hari itu, dan berikrar taat setia kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Ahli sangat marah dengan kepimpinan, tetapi terlalu takut untuk bersuara,” kata aktivis Umno Ipoh Timur itu.

Bulan lepas, bekas ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman dipecat kerana mendesak Najib letak jawatan.

“Tetapi inilah yang perlu dilakukan. Ramai ahli merasakan beliau perlu berundur untuk memberikan harapan kepada parti,” kata ahli dari Bukit Bintang pula.

Isu berbangkit
 
Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya berjaya mendapat 47% daripada undi popular pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ini berlaku ketika parti masih kuat dan semua orang, termasuk Muhyiddin berada di belakang Najib.

Sekarang menurut Ibrahim Suffian, isu kos kehidupan, kejatuhan nilai ringgit dan GST menyebabkan sokongan BN dan Umno menurun.

Menurut pengarah Merdeka Center itu, isu ekonomi merupakan faktor penentu dalam pilihan raya.

“Pada 2008, keadaan ekonomi tidak stabil dan menyebabkan BN kalah di banyak tempat,” kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim, di negeri seperti Pulau Pinang contohnya, kekuatan jentera dan pemimpin berpengalaman tidak dapat menyelamatkan BN daripada kalah di negeri itu.

Namun perpecahan Umno disebabkan ketidakpuashatian ahli dan penyokong terhadap kepimpinan boleh memberikan kesan kepada prestasi buruk parti.

“Apabila anda mempunyai isu besar, isu berbangkit, setiap undi menjadi penting. Jadi, perpecahan dalam parti boleh menyebabkan penyokong yang biasanya mengundi tidak keluar atau mengundi pihak lain.

“Perpecahan dalam parti apabila sentimen seperti ini boleh mendatangkan ‘bencana’,” kata Ibrahim.

Aktivis dari Bukit Bintang bersetuju dengan pendapat ini mengatakan sekarang hampir mustahil mendapat sokongan orang ramai.

“Saya antara yang kena berdepan dengan pengundi, saya tahu betapa susahnya. Sekarang ini persepsi terhadap kita terlalu negatif. Kita tidak akan dapat lagi undi Cina dan undi Melayu tidak stabil.”

Tetapi ini tidak bermakna isu seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadi Najib tidak menjejaskan sokongan.

Terima kasih kepada media sosial, kata ahli dari Bukit Bintang itu, terdapat persepsi pemimpin Umno dan keluarga mereka terlalu kaya dan sudah terlalu jauh dari kehidupan orang ramai.

“Rakyat bercakap tentang bagaimana Najib membelanjakan semua wang ini untuk perkahwinan anaknya,” katanya.

Isu kredibiliti dan integriti adalah isu-isu yang penting, kata Ibrahim, mengukuhkan lagi perasaan tidak puas hati.

“Contohnya, sudah terdapat sentimen kerajaan mengumpul banyak hutang (melalui 1MDB) dan orang ramai yang terpaksa membayarnya dengan cukai baharu seperti GST,” kata Ibrahim. 
 
 

Tiada ulasan: