Rabu, 2 Disember 2015

9 Ketua UMNO yang menolak Najib lakukan perkara benar – Muhyiddin

 
Muhyiddin berharap agar pihak Lembaga Displin tidak mudah menghukum penentangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. 


muhyiddin-umno


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya bahawa 9 Ketua UMNO Cawangan di Bahagian Teluk Kemang melakukan tindakan yang benar.

Malah, kehadirannya ke Ibu Pejabat UMNO adalah untuk memberikan sokongan moral kepada 9 Ketua UMNO yang dipanggil oleh Lembaga Displin.

“Saya datang untuk memberikan sokongan moral kepada mereka yang dipanggil Lembaga Displin UMNO.

“Saya percaya mereka nyatakan sesuatu yang benar,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau berharap agar pihak Lembaga Displin tidak mudah menghukum dan mempertimbangkan sebab akar umbi menentang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apakah sebab dan keadaan itu timbul dan saya berharap mereka tidak mudah menghukum kerana hanya mereka menyuarakan suara yang berbeza,” ujarnya.

Jurucakap bagi 9 yang disiasat itu berkata, mereka tetap dengan pendirian mahu perubahan tampuk kepimpinan.

“Kita akan berpegang teguh dengan kenyataan yang kita buat, kita takkan merayu dan kita akan terus dengan perjuangan kita yang mana mahu Presiden melepaskan jawatan,” kata Ketua Umno Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau percaya parti Melayu itu akan terkubur jika Najib Razak terus mengemudi Umno.

“Jadi kita kekal dengan pendirian kita bahawa presiden perlu letak jawatan,” ujarnya lagi

Tiada ulasan: