Khamis, 17 Disember 2015

5 lagi cawangan desak Najib letak jawatan

 
Desakan yang dibuat terhadap Najib adalah disebabkan sayangkan parti.


desak-najib


ULU KELANG : Sebanyak lima lagi cawangan UMNO Ulu Kelang mendesak Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meletak jawatan sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Lima cawangan itu merupakan cawangan Delima Lembah Keramat, Taman Melawati, Kampung Kemensah Hilir, Jelatek Permai dan Lake Yew Batu Caves.

Jurucakapnya Hamdan Abd Rahman berkata, desakan yang dibuat mereka terhadap Najib itu adalah kerana sayangkan parti.

“Kami bukan mengacau tetapi kami berkorban untuk UMNO. Dengan ini kami telah membuat ketetapan iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

“Pemilihan parti dalam UMNO yang dijadualkan pada 2016 perlu diteruskan. Tindakan terhadap pemimpin dan ahli UMNO yang mengkritik UMNO perlu dihentikan kerana ini membunuh demokrasi dalam UMNO,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang medianya di Taman Melawati pada Rabu.

Hamdan yang juga merupakan Ketua Cawangan Delima Lembah Keramat berkata, mereka sebagai akar umbi perlu membuat sesuatu.

“Kita bukan lawan parti dan kerajaan. Kita nak kan supaya pemimpin berundur.

“Dah sampai masanya UMNO mempunyai pemimpin berani dan berintegriti.

“Saya tengok macam Tun Dr Mahathir Mohamad dia berani. Tan Sri Muhyiddin Yassin dia berani. Jadi kenapa kita perlu takut,” tegasnya.

Tambahnya, telah tiba masanya Ketua-ketua cawangan tidak mengharapkan Ketua-ketua bahagian.

Dia berkata, ini disebabkan mereka telah menyedari bahawa Ketua-ketua bahagian dan Majlis Tertinggi parti itu tidak berani bersuara.

“Adalah malang ketika UMNO mengharapkan kebenaran, mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab gagal melaksanakan tugas dengan jujur dan sempurna,” katanya.

Tiada ulasan: