Ahad, 20 Disember 2015

105 tahun sang jurutera, penulis, peminat falsafah

Susan Loone


 


Tan Kheng Yeang seorang jurutera, penulis dan peminat falsafah. Dan beliau berumur 105 tahun tetapi masih sihat dan bertenaga.

Tidak percaya pada senaman atau diet, Tan tidak boleh hidup tanpa kari atau makanan pedas.

“Saya hanya hidup macam biasa, tiada masalah. Saya tak minta untuk hidup selama ini,” kata warga emas itu dalam wawancara santai dengan Malaysiakini di Jalan Free School, Pulau Pinang.

“Tetapi saya suka membaca. Saya akan membaca dan membaca hingga ke pagi buta. Saya tidak tidur banyak, tetapi saya fikir banyak, tentang pelbagai perkara,” katanya.

Tan tampil dengan dasi hitam dan kemeja putih.

Anak kelahiran Kamunting, Perak itu tinggal di George Town sejak tahun 1945.

Beliau akan menyambut ulang tahun hari lahirnya untuk ke-105 kali hari ini di Muzium Peranakan di Jalan China. Dua anak lelakinya yang kini tinggal di Kanada dan Singapura turut pulang.

Seabad hidup, dari Perang Dunia, Darurat Malaya dan merdeka, Tan sudah menulis 12 buah buku merangkumi pelbagai tajuk daripada sastera kepada falsafah kepada fiksyen.

Sepanjang kepengarangnnya sejak berumur 12 tahun, dan sedikit perlahan memasuki 90, beliau malah menulis diari sendiri untuk bahasa yang diciptanya berjudul Liuf - a New Language.

“Ini kerana semua bahasa dicipta oleh orang gasar, jadi kita mesti cipta bahasa kita sendiri,” kata Tan.

Beliau seorang anak saudagar dari China, yang menuntut di Hong Kong semasa Perang Dunia ke-2. Beliau turut merakam memori hitam ketika zaman pendudukan Jepun.

Walaupun sukar, beliau merakam kembali semua itu dalam Dark Days (Hari-hari Gelita).

Memperoleh ijazah dalam bidang kejuruteraan, Tan berpindah ke Pulau Pinang pada 1945 untuk berkhidmat sebagai jurutera dengan sebuah majlis daerah.

Selepas bersara, beliau menubuhkan syarikat perunding kejuruteraan sendiri untuk memberi nasihat dalam bidang perumahan dan pembinaan jalan raya.

“Saya hanya berhenti kerja beberapa tahun dahulu. Saya suka kerja. Tiada sehari pun saya tak bekerja,” katanya yang membujang kembali lima tahun lalu.


Tiada ulasan: