Rabu, 25 November 2015

Wan Nik: Azmin buktikan PKR mampu jadi tonggak urus kerajaan

 Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Wan Nik Wan Yussoff menyifatkan pendirian Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk tidak merombak pentadbiran sedia ada membuktikan PKR mampu menjadi tonggak meskipun berdepan dengan kemelut. 
 
Tegas beliau, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilihat tidak mudah tunduk kepada desakan komponen Pakatan Harapan untuk menyingkirkan PAS daripada pentadbiran kerajaan negeri.
 
"Dalam kes Selangor kemenangan dulu tak dirombak, kita menang di Selangor atas nama Pakatan Rakyat.
 
"Jadi pendirian Menteri Besar sekarang Azmin Ali masih meletakkan PAS sebahagian daripada komponen-komponen dalam kerajaan kerana kerajaan dibina daripada kerjasama tiga parti," katanya kepada Antarapos.
 
Wan Nik menambah Azmin telah memainkan peranannya selaku Menteri Besar serta menguruskan pentadbiran negeri dengan baik tanpa timbul konflik yang membabitkan PAS-DAP.
 
"Walaupun DAP secara rasmi telah putus hubungan dengan PAS dan PAS telah putus hubungan dengan DAP tapi asas kerajaan itu tonggaknya PKR.
 
"Jadi PKR boleh mengurus kerajaan dengan ketiga-tiga komponen asas ini," katanya.
 
Pentadbiran PKR masih memerlukan PAS
 
Mengulas lanjut perkembangan yang berlaku di Pulau Pinang, bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan ini berkata senario berkenaan tidak boleh disamakan di Selangor kerana parti yang menjadi tunjang berlainan.
 
"Azmin masih meletakkan keperluan PAS dan DAP dalam kerajaan selain menolak cadangan daripada pihak DAP untuk menubuhkan Pakatan Harapan di Selangor," katanya.
 
Beliau menambah pentadbiran PKR di Selangor masih memerlukan wakil PAS untuk menguatkan serta mengukuhkan kedudukan Pakatan Rakyat yang menjadi pentadbir sejak dua penggal yang lalu.
 
"Di situ bermakna keperluan PAS dalam kerajaan itu masih penting dan PAS pun merasai bertanggungjawab untuk menjaga kerajaan yang ada.
 
"Itu satu langkah yang tepat sebagaimana maksud asal kemenangan 2008 dan 2013," katanya.
 
Ujar Wan Nik lagi, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa serta Ahli Parlimen Gombak perlu mengekalkam rentaknya dan jangan tunduk kepada kehendak pihak luar.
 
"Jadi saya ingat apa yang dibuat oleh Azmin itu baik di Selangor," katanya.
 
 

Tiada ulasan: