Isnin, 30 November 2015

Tiada tempoh akhir siasat 1MDB


Nancy Shukri
Nancy Shukri


KUALA LUMPUR - Tiada tempoh akhir ditetapkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat syarikat 1Malaysia Development Berhad, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata, pasukan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan dan perkara itu hanya akan selesai setelah keterengan kesemua saksi dirakamkan serta dokumen  berkaitan diperolehi.

"Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk berada di luar negara, maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian kes itu," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) semalam.

Zainudin dalam soalannya meminta penjelasan menteri mengenai status terkini siasatan yang dibuat Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB  dan bilakah laporan itu dijangka dapat diselesaikan.

Ahli Parlimen Jelebu itu juga bertanya sama ada hasil siasatan itu akan dibentang ke Parlimen.

Menurut Nancy, perkara itu hanya akan diputuskan oleh Peguam Negara sebaik siasatan 1MDB selesai.

"Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.


Tiada ulasan: