Isnin, 16 November 2015

Sultan Johor kecil hati laporan berita palsu

 
Baginda menjelaskan anaknda, Tuanku Abdul Jalil hanya mendapat rawatan sakit belakang kerana kemudahan di hospital lebih lengkap





PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta pihak terbabit yang menyebar berita palsu mengenai anaknda Baginda, Tunku Abdul Jalil yang kononnya berada dalam keadaan kritikal supaya menghentikan perbuatan itu.

Baginda yang berkecil hati dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjelaskan puteranya hanya mendapat rawatan di hospital kerana masalah sakit belakang.

“Tunku Laksamana dimasukkan ke wad kerana fasiliti (rawatan) di istana tidak mencukupi.

“Jadi, orang ramai tolonglah jangan menghebah-hebahkan berita palsu. Saya berasa kecil hati kerana keadaan Tunku Laksamana tidak tenat seperti yang diuar-uarkan dan berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan anakanda, ” titah Baginda yang dipetik daripada Bernama.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas laporan tentang Tunku Abdu Jalil yang dikatakan sedang sakit tenat akibat kanser dan ia kemudian menjadi viral di laman media sosial.

Sultan Ibrahim turut menegaskan, di Johor, Baginda tidak mahu perbuatan penyebaran berita palsu itu terus berleluasa.

“Kerajaan tahu di mana tujuan (penyebaran), jadi tidak payah sebar-sebarkan berita yang kurang senonoh terutama blogger, yang kononnya macam mereka tahu dulu (semua perkara) sebelum kejadian berlaku,” titah Baginda kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama Lembaga Pengampunan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim.

Tiada ulasan: