Khamis, 26 November 2015

Sudahkah Sirul terima pindaan kenyataan tuntutan Setev?

Hafiz Yatim   





Belum ada sebarang petunjuk dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia sama ada pindaan kenyataan tuntutan oleh warga Mongolia, Shaariibuu Setev berjaya diserahkan kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar, yang kini ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney.

Hampir tiga bulan berlalu sejak Kementerian Luar pada awal September lalu mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk menyampaikan dokumen berkenaan.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan semua pihak untuk hadir pada 5 Januari tahun depan untuk mengetahui status perkara tersebut.

Ini berikutan taklimat peguam Setev, Sangeet Kaur Deo kepada Timbalan Pendaftar Azlinda Mohd Sharif bahawa tidak ada sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia selepas menulis kepada mereka bulan lalu.

Pindaan kenyataan tuntutan itu difailkan berikutan sabitan Sirul dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri kerana membunuh anak perempuan Setev, Altantuya di sebuah kawasan hutan di sebuah bukit di Puncak Alam antara jam 10 malam dan 1 pagi pada 18 dan 19 Julai 2006.

Setev dan dua anak lelaki Altantuya dilapor memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah, Sirul, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan pada tahun 2008, berhubung kematiannya.

Kedua-dua anggota polis itu adalah sebahagian daripada Unit Tindakan Khas yang didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pembunuhan Altantuya pada 13 Januari tahun ini.

Azilah sekarang merengkuk di penjara Kajang menanti hukuman gantung dilaksanakan manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia selepas kedua-duanya sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: