Jumaat, 20 November 2015

Speaker: Tunggu surat rasmi Pas pusat


Law Choo Kiang
Law Choo Kiang


GEORGETOWN - Status Adun Pas, Datuk Salleh Man Mat Aji dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan ditentukan selepas surat rasmi dari Pas pusat diserahkan kepada Speaker Dun nanti.

Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang berkata, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dari parti Islam itu berhubung kedudukan Salleh Man sama ada dia di pihak pembangkang atau sebaliknya.

“Isu ini saya hanya baca di suratkhabar sahaja. Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada Pas (pusat) lagi. Oleh demikian, saya rasa perlu tunggu surat atau dokumen rasmi untuk saya menjalankan tugas seterusnya.

“Selagi saya tidak terima (surat rasmi), saya tidak akan ambil sebarang tindakan ke atas Salleh Man.
Walaubagaimanapun, sekiranya selepas ini surat pengesahan dari Pas sampai ke pejabat saya, maka saya akan urus apa yang termaktub dalam peraturan mesyuarat Dun Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di luar persidangan Dun Pulau Pinang tadi.

Choo Kiang berkata, sekiranya selepas ini Pas menyerahkan surat rasmi kepadanya, pihaknya akan menyusun semula tempat duduk tanpa melibatkan persidangan dewan.

“Sekiranya selepas ini Pas serahkan dokumen rasmi, persidangan dewan tidak perlu diadakan. Ia tidak melibatkan panggilan sidang Dun. Jika ada pun, ia hanya melibatkan susunan tempat duduk sahaja.

“Itu bukan perkara besar dalam dewan. Walaubagaimanapun, semuanya bergantung kepada dokumen atau surat rasmi dari Pas. Apa-apa pun kena ada pengesahan secara rasmi dari Pas,” katanya.

Menjawab soalan media sama ada Salleh Man masih berstatus Adun Pas, Choo Kiang berkata, sehingga kini, Salleh Man tidak memaklumkan sebarang perubahan kepadanya.

“Dia sendiri tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia bukan Pas. Dia masih ahli Pas dan setahu saya dia tetap ahli Pas. Itu sahaja yang dia (Salleh Man) beritahu saya,” katanya.

Sementara itu, Salleh Man yang ditemui media enggan mengulas lanjut isu berkenaan.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan Pas kini sebagai pembangkang di Pulau Pinang selepas Kerajaan Pulau Pinang memecat 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) di kalangan ahli parti itu di Parlimen Kepala Batas.

Takiyuddin berkata, tindakan tersebut sudah dijangka selepas melihat hubungan yang semakin tegang di antara Pas dan DAP.

Menurutnya, buat masa ini, Pas tidak ada pilihan selain bertindak menjadi pembangkang dalam kerajaan DAP

Tiada ulasan: