Ahad, 22 November 2015

Shabery: Skim insurans bagi pesawah terjejas bencana

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mewujudkan skim insurans khas untuk pesawah yang menghadapi kerosakan tanaman akibat bencana alam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata skim insurans yang dapat memberikan pulangan ataupun pampasan besar tanpa had perlu diwujudkan bagi membantu pesawah berkenaan.

"Kalau sekarang ada had bagi bantuan yang diberikan kerajaan kepada pesawah terjejas iaitu RM1,800 sehektar bila tanaman mereka musnah, hingga maksimum tiga hektar.

"Justeru, satu sistem insurans yang baik yang memberikan pulangan ataupun pampasan yang besar tanpa had perlu diwujudkan.

"Kalau mereka mengusahakan kawasan 10 hektar, 10 hektarlah, kalau 100, 100 hektarlah, yang mesti dipulangkan kepada mereka sebagai pampasan," katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai bantuan kerajaan kepada pesawah yang terjejas akibat tengkujuh yang melanda kawasan Barat Laut Selangor dekat Sekinchan, sekarang.

Terdahulu, menteri itu melawat sawah padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

Ahmad Shabery berkata buat masa ini, pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana menerima pampasan menerusi Tabung Bencana Pertanian dan tiada skim insurans khusus diwujudkan untuk membantu mereka.

"Negara jiran seperti Filipina sudahpun mempunyai skim insurans bagi membantu kumpulan petani yang dilanda bencana.

"Jadi saya tak mahu Malaysia dilihat terlalu lambat dalam memperkenalkan skim insurans kepada pesawah," katanya.-Bernama


Tiada ulasan: