Khamis, 5 November 2015

Saya tiada masalah bangun awal pagi

 
Sebagai rakyat Malaysia yang menyumbang dana demi kesejahteraan negara, saya mengharapkan supaya kebajikan saya dipelihara oleh kerajaan.
 
 
 
bangun-pagi

“Kalau kos hidup tinggi, belajar tanam ubi kayu” – Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia.

“Kalau tak suka GST, masak sendiri di rumah” – Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan.

Sudah berpuluh-puluh kali saya dengar pemimpin negara menasihati kita cara untuk menanggani masalah kos sara hidup yang semakin melampau. Daripada belajar menanam ubi kayu hinggalah belajar memasak nasi goreng telur.

Kini saya dikhabarkan pula dengan nasihat terbaru daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan – “Bangun awal pagi jika tidak mahu bayar tol”.

Kali pertama membaca kenyataan beliau, sememangnya berderau darah panas saya. Namun setelah diteliti, nampaknya ada juga kebenaran pada kenyataan Datuk Abdul Rahman itu.

Sesungguhnya kita sebagai anggota masyarakat punya tanggungjawab kepada diri sendiri serta keluarga. Sekiranya kos hidup tinggi dan membebankan, maka patutlah kita berusaha mengurangkannya sama ada menghentikan perbelanjaan yang berupa pembaziran ataupun mencari cara alternatif bagi pengurusan kewangan yang lebih cekap.

Sementara kita merangka gaya hidup baru yang sesuai dengan kos sara hidup yang semakin melonjak, saya juga berpendapat, pemimpin negara turut bertanggungjawab merealisasikan tugas yang diamanahkan rakyat kepada mereka.

Daripada menasihati rakyat bangun awal pagi, saya ingin menyarankan menteri-menteri agar bangun awal pagi untuk ke mesyuarat serta persidangan Parlimen menggunakan jalan raya biasa tanpa menggunakan polis sebagai escort. Cubalah menjadi pengguna jalan raya biasa seperti kami.

‘Nikmatilah’ jalan-jalan yang penuh berlubang, berlekuk, sempit dan bertampal sana-sini. Rasai pengalaman tersadai di jalan pabila berhadapan dengan lampu-lampu trafik yang tidak berfungsi selama beberapa hari. Rasanya jika pemimpin kita sanggup melalui cabaran ini, pasti juga akan terserlah kebenaran bahawa bukan semua lebuhraya yang punya jalan biasa sebagai alternatif.

Pada hemat saya juga, dalam pada rakyat Malaysia cuba menanggani kos yang semakin tinggi, para menteri seharusnya sudah mula melakukan sesuatu untuk membantu rakyat – bukannya sekadar memberi cadangan-cadangan yang kurang cerdik bunyinya.

Daripada menyarankan agar rakyat bangun awal pagi, lebih molek kiranya kerajaan berusaha menaik taraf semua jalan biasa – lebarkan jalan raya serta turapkannya agar rakyat lebih selesa menggunakannya.

Selain itu, tingkatkanlah kualiti kemudahan pengangkutan awam agar rakyat yang merasakan tol membebankan punya pilihan lain yang lebih baik. Lebihkan jumlah bas di atas jalan; kerapkan kunjungan keretapi dan LRT ; dan benarkan Uber bergerak bebas di atas jalan.

Dalam pada itu, sekiranya pemimpin benar-benar berjiwa rakyat, usahlah teruskan niat untuk meluluskan peningkatan kos pengangkutan awam yang akan berkuatkuasa tidak lama lagi kerana sebenarnya, inilah alternatif paling baik bagi rakyat menghadapi masalah kenaikan tol, kenaikan harga minyak serta masalah trafik sesak.

Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia yang membanting tulang empat kerat setiap hari dan menyumbangkan dana bagi kesejahteraan negara, saya mengharapkan kebajikan saya dipelihara oleh kerajaan yang memerintah.

Saya tiada masalah untuk bangun awal pagi semata-mata untuk menggunakan jalan alternatif yang tidak bertol. Namun harapan saya agar pemimpin kita juga tiada masalah bangun awal pagi setiap hari dengan semangat ikhlas untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Tiada ulasan: