Khamis, 5 November 2015

Saya dikurung bersama pesakit HIV dan TB – Matthias Chang

 
Matthias Chang mendedahkan perkara itu ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan dia dan Khairuddin dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan pada 18 November.


Khairuddin-Abu-Hassan,matthias-chang


KUALA LUMPUR: Peguam kanan dan bekas Pegawai Khas Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang yang ditahan di Penjara Sungai Buloh mendakwa dia diletakkan dalam sel tahanan bersama penghidap HIV dan Batuk Kering (tuberculosis).

Dia memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi pada Khamis ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan dia dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes mereka disebut pada 18 November ini.

“Rakan tahanan sel saya ada HIV (positif) dan Batuk Kering (TB). Kesihatan saya menjadi pertaruhan.

Adakah ini adil kepada saya,” katanya dari kandang tertuduh selepas Hakim Azman Hussin menolak permohonan ikat jamin itu.

Keputusan mahkamah itu turut membangkitkan kemarahan ahli keluarga Khairuddin yang meninggalkan mahkamah sebaik mendengar keputusan itu.

Dalam hujahnya, peguam kedua-dua tertuduh, Haniff Khatri Abdullah menegaskan, jika ikat jamin tidak dibenarkan ia boleh membawa penahanan secara salah terhadap Khairuddin dan Matthias.

Katanya, kedua-duanya telah ditahan selama enam minggu tetapi pertuduhan ke atas mereka belum ditetapkan sama ada mengikut SOSMA 2012 atau tidak.

Khairuddin dan Matthias didakwa di mahkamah pada 12 Oktober lalu atas tuduhan cuba mensabotaj sistem pembankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124 L Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pihak kerajaan mendakwa tuduhan sabotaj itu membolehkan Khairuddin dan Matthias ditahan mengikut SOSMA 2012.

Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 18 November ini sama ada penahanan mereka itu boleh dibuat mengikut SOSMA 2012 atau tidak.

Tiada ulasan: