Sabtu, 21 November 2015

Sambut Obama bermakna sokong Israel

Mohammad Fazril Mohd Saleh


 


ULASAN Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia.

Bantahan ini adalah berdasarkan dua pendirian songsang oleh pentadbiran Obama yang kami kecam iaitu sokongan AS terhadap Israel dan dominasi AS dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

PKPIM melihat sikap berat sebelah Obama dalam isu pergolakan di Palestin sebagai suatu kegagalan besar beliau sebagai seorang pemimpin dunia yang kononnya mengangkat prinsip keadilan sejagat.

Pada Ogos 2014, Obama meluluskan undang-undang yang bertujuan memberikan peruntukan tambahan sebanyak AS$225 juta dana awam untuk sistem pertahanan Iron Dome Missile Israel ketika konflik Gaza-Israel.

Bantuan dana awam AS sebanyak ini kepada Israel jelas suatu kezaliman terancang yang tidak harus didiamkan.

Konflik terbaru di Palestin khususnya di Tebing Barat yang masuk hari ke-50 hari ini pula tercetus akibat kebiadaban Israel menceroboh rumah ibadat kaum Muslimin di Baitul Maqdis.

Sehingga kini, angka korban di pihak Palestin meningkat sehingga mencecah 91 orang dengan 10,432 yang lain cedera dan 2,000 orang ditahan termasuk 800 orang kanak-kanak.

Jelas untungkan AS

Walaupun masyarakat dunia terang-terangan membantah kebiadaban Israel ini, Obama masih lagi mempertahankan kezaliman Israel terhadap Palestin.

Baru-baru ini, Palestin telahpun diterima sebagai negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dan ini menunjukkan secara jelas Israel kini memang sedang menjajah Palestin.

Berhubung isu TPPA pula, kami melihat kehadiran kali kedua Obama ini sebagai usaha menekan pentadbiran Malaysia untuk menandatangani perjanjian itu.

Perjanjian ini memang jelas memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat. Malah, mekanisme yang masih belum jelas dalam peruntukan "Investor-to-State Dispute Settlement (ISDS)" menggusarkan rakyat.

Begitu juga peruntukan tentang hak cipta dan hak milik intelektual yang bakal menjejaskan aspek kesihatan dan pendidikan rakyat.

Kehadiran Obama tanpa bantahan rakyat menggambarkan seolah-olah rakyat merestui tindakan dan polisi zalim beliau.

PKPIM menyeru pelajar dan mahasiswa agar secara tegas membantah kehadiran beliau dengan menyertai himpunan aman Bantah TPPA yang akan diadakan esok jam 2:00 petang di sekitar KLCC.

MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).


Tiada ulasan: