Selasa, 24 November 2015

Rosmah: Apa saja mengenai saya, periksa dulu

Zulaikha Zulkifli  





Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang perkara yang membabitkan dirinya di laman media sosial.

Malah, beliau juga meminta supaya orang ramai tidak mudah percaya tentang sebarang berita yang diviralkan itu.

"Saya harap anda semua jangan percaya berita yang ada di sosial media dan viralkannya. Perkara itu kita tidak tahu kebenarannya. Jika tidak anda juga sama pelakunya (kerana menviralkan).

"Jangan percaya apa di sosial media terutamanya mengenai saya.

"Apa sahaja yang anda dengar tentang saya, periksa dulu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan klinik perundangan dan kebankrapan Wanita MIC di ibu negara hari ini.

Selain itu, Rosmah meminta supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan perang saraf (psy war) yang berada di media sosial.

Semasa Sidang Kemuncak Asean minggu lalu, katanya, beliau mendapati terdapat pihak yang melakukan perang saraf di media sosial dengan mengatakan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tidak dapat hadir ke negara ini disebabkan hal keselamatan.

"Saya sangat rapat dengan suami saya dan dia sangat ambil berat tentang hal keselamatan terutamanya selepas apa yang terjadi di Paris.

"Kemudian ada yang kata Obama tidak datang kerana hal keselamatan dan semua perang saraf ini berada dalam media sosial.

"Jadi perang saraf yang telah dilakukan individu tertentu ini adalah untuk memalukan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Asean.

"Saya harap anda semua tidak terbeli dengan berita sebegini di meida sosial. Apa yang ada baca tolong periksa," katanya lagi.


Tiada ulasan: