Khamis, 26 November 2015

Rasuah: Bekas CEO TEKUN mengaku tidak bersalah

FREE MALAYSIA TODAY


Dia dituduh menggunakan jawatannya ketika itu, bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan dua permohonan pinjaman program perintis TEKUN Nasional berjumlah RM200,000


rasuah


KUALA LUMPUR : Bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis TEKUN berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat e-learning yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

Datuk Abdul Rahim Hassan, 59, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Abdul Rahim didakwa menggunakan jawatannya ketika itu, bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan dua permohonan pinjaman program perintis TEKUN Nasional berjumlah RM200,000 melalui dua transaksi, masing-masing kepada syarikat Dynamind Enterprise.

Abdul Rahim didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengetahui bahawa dia mempunyai kepentingan dengan pemilik syarikat Dynamind iaitu Khairul Fadly Mahammad, yang juga menantu tertuduh dan anak saudaranya (anak saudara tertuduh), Khairiyah Khalid yang juga rakan kongsi dalam syarikat berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Bandar Tasik Selatan pada 31 Mac 2014.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Shakimah Ibrahim daripada SPRM menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakili Abdul Rahim memohon mahkamah memberikan jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan kedua-dua pertuduhan itu melibatkan transaksi yang sama, tarikh dan tempat sama.

“Anak guam saya juga merupakan pesara kerajaan dan isterinya juga tidak bekerja. Oleh itu, jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin adalah memadai,” katanya.

Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

Mahkamah juga memerintahkan Abdul Rahim menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan memberi kebebasan untuk tertuduh memohon pasport sekiranya diperlukan.– BERNAMA

Tiada ulasan: