Jumaat, 20 November 2015

Program Rumah Ngaji tarik jemaah ke masjid


Program Rumah Ngaji tarik jemaah ke masjid
Marhaini (berdiri) ketika berkongsi perkembangan terkini mengenai Rumah Ngaji bersama imam dan penggerak Rumah Ngaji di negeri ini, semalam.


KOTA BHARU - Rumah Ngaji yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) sejak setahun lalu bukan sahaja menggalakkan orang ramai membaca al-Quran malah membentuk sahsiah terpuji.

Imam Tua Masjid Lundang, Shamsuddin Abdul Rahman memberitahu, sejak diaktifkan Rumah Ngaji di masjid berkenaan April lalu, bilangan jemaah semakin meningkat.

“Dari sudut penerimaan, secara keseluruhan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah masjid dan masyarakat setempat.

“Sehingga kini Rumah Ngaji Masjid Lundang ini mempunyai hampir 200 termasuk 98 peserta kanak- kanak dan lebih 80 peserta dewasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri Program Perkongsian Sinergy di Pejabat Sinar Harian, semalam.

Shamsuddin berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai mendorong pihaknya mengaktifkan lagi Rumah Ngaji yang dijalankan dengan beberapa pengisian lain termasuk mewujudkan program Pengajian Pintar.

“Ahli jawatankuasa masjid kini sedang menyiapkan tempat khas untuk menjayakan program Pengajian Pintar, di mana mereka yang bekerja sendiri, berniaga dan sebagainya boleh singgah untuk mengikuti kelas pengajian al-Quran hanya untuk 10 minit sebelum meneruskan rutin harian mereka,” katanya.

Menurutnya, seorang guru akan ditempatkan bagi menjayakan program selama tiga jam dari 9 pagi hingga 12 tengah hari bermula Ahad hingga Selasa itu.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Sultan Muhammad II Telipot, Ahmad Yunuh turut mengakui keberkesanan program Rumah Ngaji yang disifatkan cukup membantu dalam menggarap kehidupan berteraskan al- Quran.

"Sehingga kini kira-kira 200 peserta terdiri daripada semua peringkat umur mengikuti kelas pengajian al-Quran yang diadakan hampir setiap hari di masjid berkenaan," katanya.

Setiausaha Masjid Mukim Kuala Nal, Ahmad Zainali Ab Rahman mengakui, berlaku perubahan ketara  termasuklah peningkatan bilangan jemaah sejak Rmah Ngaji diwujudkan di masjid itu Februari lalu.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 50 peserta Rumah Ngaji di masjid berkenaan yang turut terlibat  kelas fardhu ain semua peringkat umur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya YWUI, Marhaini Yusof berkata, pihaknya menyasarkan sekurang- kurangnya 1 juta umat Islam  boleh menguasai al-Quran dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurutnya, program akan diperkasakan lagi melalui pelaksanaan program Keluarga Ngaji, diikuti Sekolah Ngaji, Organisasi Ngaji, Komuniti Ngaji, Malaysia Ngaji dan Dunia Ngaji.

“Setakat ini terdapat 850 Rumah Ngaji di seluruh negara,  30 di Thailand dan satu di Indonesia. Kita sasarkan 1,000 Rumah Ngaji menjelang akhir 2016,” katanya.


Tiada ulasan: