Ahad, 29 November 2015

Polis sukarelawan maut kereta dihempap lori

MALAYSIAKINI


 


Seorang sukarelawan polis yang baru menamatkan syif di Balai Polis Beserah, di Kuantan maut selepas kereta dipandunya dihempap lori yang hilang kawalan.

Pegawai Turus Trafik negeri Deputi Superintendan Ahmad Nadzri Zainal berkata mangsa Muhammad Rizal Ramly, 37, yang berasal dari FELDA Neram 1, Kemaman maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian pukul 6.15 pagi di Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan itu turut menyebabkan pemandu lori Mohd Shah Abu Bakar, 51, yang berasal dari Kulaijaya, Johor dan kelindannya Fazlan Abd Kadir, 42, dari FELDA Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di Kuantan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke bulatan Aspa Cottage dari bandar hilang kawalan menyebabkab ia terbalik dan menghempap kereta mangsa yang bergerak di laluan kiri," katanya hari ini.

Ahmad Nadzri berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir setengah jam untuk mengalihkan lori sebelum dapat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di Kota Bharu, seorang pegawai bomba dan isterinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori treler yang terbabas.

Dalam kejadian 11 malam tadi di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Laloh, Kuala Krai dekat Kota Bharu, pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Pahang, Muhamad Zulkifli Awang, 36, dan isterinya Shuhada Mat Hassan, 34, mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Penolong Pegawai Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata dua anak pasangan itu iaitu Nur Umairah Husna, 6, patah kaki kanan dan Muhammad Hafiz Hakimi, 2, pula cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati treler berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Avanza yang dinaiki empat sekeluarga itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hanif berkata mayat pasangan suami isteri itu telah dituntut oleh keluarga mereka pagi tadi dan akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Raja, Besut, Terengganu hari ini.

Di Kuala Lumpur, dua lelaki maut selepas lori simen yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Jalan 5 Chan Sow Lin, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Nasarun Lajahmurah, 31, dan Ahmad Syazwan Mustafa, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata kejadian berlaku pada pukul 2 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Tun Razak.

"Lori yang dipandu Nasarun telah melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu sebelum lori mereka terbalik. Keadaan itu menyebabkan Nasarun keluar dan Ahmad Syazwan tersepit di tempat duduk kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Seramai 12 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Tun Razak dihantar ke lokasi kejaidn," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: