Jumaat, 27 November 2015

PKR: Tiada undi tak percaya terhadap Nik Nazmi

Shakira Buang

 


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengesahkan bahawa parti itu tidak menerima sebarang laporan berhubung usul undi tidak percaya yang didakwa dibuat terhadap Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata perkara itu sebagai berita sensasi untuk menghangatkan suasana kongres parti itu hujung minggu ini.

"Saya belum dapat laporan dan hanya dapat tahu melalui berita di televisyen. Itu (berita) hanya berbentuk sensasi, kerana ia bukan sumber rasmi parti," katanya.

Beliau yang juga MP Pandan berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Laporan portal berita Astro Awani hari ini yang memetik sumber berkata Nik Nazmi mungkin berdepan cabaran terhadap kepimpinannya melalui usul undi tidak percaya dalam Kongres PKR pada hujung minggu ini.

Laporan itu juga menyebut salah satu cabang AMK di Kedah telah memfailkan borang bagi membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa usul.

Laporan itu juga menyebut, dalam borang usul itu Nik Nazmi dilihat tidak berkemampuan untuk menerajui AMK pusat. Ia mendakwa usul itu dipercayai dari cabang Baling.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga naib presiden parti itu berkata jika benar perkara itu berlaku sudah pasti pihaknya dimaklumkan terlebih dahulu.

"Saya rasa tidak, jika betul berlaku saya akan dapat laporan lebih awal. Esok Kongres PKR dan Jawatankuasa Usul sudah tentu akan berbincang terlebih dahulu sebelum dibawa ke persidangan kongres AMK," kata Rafizi.

Sertai PKR

Nik Nazmi yang merupakan ADUN Seri Setia memenangi jawatan ketua AMK Pusat pada Ogos 2014 dengan menewaskan Amirudin Shari.

Kini, beliau adalah exco pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi kerajaan Selangor.

Sebelum itu, Rafizi hadir pada majlis pengumuman penyertaan empat tokoh pemimpin muda daripada NGO Islam berpengaruh di Malaysia bersama PKR.

Mereka adalah bekas presiden ABIM, Amidi Abd Manan, bekas Yang Dipertua ABIM, Wilayah Persekutuan, Muhammad Muszaki Mohd Ozir, bekas Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Mohamad Khalib Khan Ghani dan bekas setiausaha ABIM negeri Pahang, Mahadi Deraman.

Penyertaan keempat-empat tokoh muda ini difahamkan berikutan n pelbagai kepincangan dalam pentadbiran kerajaan sekali gus membuatkan rakyat mencari alternatif yang lebih cenderung kepada perubahan.


Tiada ulasan: