KUALA LUMPUR,  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu mencontohi sistem pemisahan kuasa seperti mana yang diamalkan di Parlimen.

Pengerusi Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan DUN, Datuk Johari Abdul berkata apabila sesuatu isu yang dibahaskan melibatkan kepentingan rakyat, ianya perlu melepasi sempadan kepartian.

“Kita harus ada perpisahan kuasa di antara penggubal undang-undang dan legislative (perundangan) seperti yang kita amalkan di Parlimen.

“Kita pun bercakap di Parlimen supaya komponen parti dalam Barisan Nasional walaupun ada garis panduan dan sebagainya, tapi ianya (isu rakyat) jelas dan kita bincang dan bukan buat secara spontan, ia perlukan penegasan,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu lima ADUN PKR Pulau Pinang yang mengambil pendirian berkecuali ketika undi usul tambakan laut di Pulau Pinang yang dibawa oleh Adun Umno dalam sidang DUN Pulau Pinang minggu lalu.

Turut hadir dalam sidang media tersebut lima ADUN PKR yang mengundi untuk berkecuali dalam usul itu.

Jelas Johari, beliau sudah mendengar penjelasan daripada kelima-lima ADUN berkenaan dan berpuas hati dengan penerangan yang diberikan.

“Mereka membawa isu ini adalah isu penambakan yang baru di para B. Jadi kita ambil maklum bahawa usul yang dibawa ini bukan isu yang partisan, isu yang dibawa itu adalah berkenaan dengan alam sekitar dan ianya amat terlibat dengan kepentingan rakyat.

“Namun kita menghormati perbezaan pendapat kerana ia merupakan demokrasi yang sihat malahan kita berpendapat demokrasi yang sihat ini harus disemarakkan,” kata ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Susulan daripada itu, Johari meminta Lim supaya tidak lagi memanjangkan perkara itu.

“Kita harap selesai, begitulah. Saya tidak jumpa dia (Lim Guan Eng) lagi. Dari sekarang belum jumpa lagi, saya harap boleh jumpa dia sebentar lagi, saya harap selesai,” ujarnya.