Sabtu, 28 November 2015

Perwakilan DAP PP disaran undi calon mampu menang PRU14

Susan Loone

 


Semua mata akan tertumpu kepada sama ada calon Melayu akan terpilih di kalangan 15 tempat teratas dalam pemilihan DAP Pulau Pinang esok kerana keputusannya akan mengekalkan atau menghapuskan persepsi bahawa ia adalah parti 'cauvinis Cina'.

Bagaimanapun, calon-calon Melayu seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid yang turut bertanding esok, tidak melihatnya sebagai satu isu.

Zairil berpandangan bahawa isu itu telah diperbesar-besarkan.

"DAP bukan mengenai kaum tetapi kemampuan," kata Zairil kepada Malaysiakini ketika ditemui di Georgetown hari ini.

Beliau berharap para perwakilan akan memilih pemimpin yang mereka anggap mampu menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan dapat membantu memastikan perubahan rejim di peringkat persekutuan.

Beliau yang juga penolong setiausaha publisiti DAP berkata mereka yang dipilih esok akan bertanggungjawab untuk menetapkan asas untuk menghadapinya.

Syerleena bersetuju dengan Zairil dan berkata soal kaum tidak sepatutnya menjadi isu kerana apa yang lebih penting ialah setiap orang bekerja keras untuk mencapai apa yang terbaik untuk negara.

"Sudah terdapat agak ramai orang Melayu dalam DAP. Ramai yang baru dan bekerja keras untuk parti," katanya.

Calon Melayu yang lain yang turut bertanding ialah Hamka Abdullah.

Empat puluh lapan calon akan bertanding esok untuk 15 jawatan dalam jawatankuasa negeri DAP. Semua 15 penyandang mempertahankan jawatan mereka.

Mereka termasuk Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy, Exco kerajaan negeri Lim Hock Seng, Phee Boon Poh, Danny Law Heng Kiang dan Jagdeep Singh Deo.

Selain Zairil, MP yang turut bertanding termasuk Ng Wei Aik (Tanjung), Jeff Ooi (Jelutong), Steven Sim (Bukit Mertajam) dan Kasthuriraani Patto.

Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) tidak dapat bertanding kerana beliau tidak layak kerana tidak sampai dua tahun menjadi ahli parti.

Spekulasi bertiup kencang bahawa kontroversi yang melibatkan ADUN DAP Teh Yee Cheu, yang menyokong usul Umno berhubung penambakan laut di Dewan Undangan Negeri minggu lepas, akan menjadi isu esok.

Teh telah memohon maaf atas keputusannya menyokong usul Umno dan telah meletakkan jawatan setiausaha organisasi, tetapi penyokongnya dalam parti telah menganjurkan acara solidariti untuk mempertahankan beliau.

Setiausaha DAP negeri, Lim Hui Ying mengesahkan bahawa 1,076 layak mengundi. Bagaimanapun, berdasarkan konvensyen sebelum ini, hanya 70 peratus akan hadir.

Tiada ulasan: