Selasa, 17 November 2015

Pengangkutan awam: Masalah atau penyelesaian?



Oleh LIEW CHIN TONG


APABILA Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menasihati pengguna jalan raya untuk ‘bangun lebih awal dan elakkan jalan bertol’ nyatalah, beliau benar-benar tidak memahami rungutan rakyat.

Adakah beliau wajar meletakkan kesalahan di bahu rakyat tetapi tidak mahu mengakui kegagalan kerajaan dalam membuat perancangan yang cekap untuk sektor pengangkutan awam.

Tak ubah seperti cerita rakyat di Perancis tentang seorang permaisuri yang tidak faham akan kesusahan rakyatnya. Semasa dalam era kekurangan bekalan makanan, rakyat memberontak dan merungut kerana tidak ada roti untuk dimakan, dan permaisuri itu membalas rungutan mereka dengan berkata: “Jika tidak ada roti, makanlah kek.”

Kenyataan tidak masuk akal itu kemudian menyebabkan revolusi anti-monarki yang menyaksikan kebangkitan rakyat besar-besaran melawan kelas aristokratik yang mementingkan diri dan tidak mengerti kesusahan rakyat biasa.

Hari ini, cerita rakyat dalam versi moden itu nampaknya berlaku di Malaysia. Kenyataan tak berhati perut dari Ahli Parlimen Kota Belud menunjukkan betapa kurangnya rasa peduli terhadap beban kewangan yang dihadapi rakyat biasa.

Dengan kejatuhan ekonomi, nilai ringgit yang susut dan kadar inflasi yang semakin tinggi, rakyat terpaksa menjalani hidup yang serba susah.

dividen tolMalah, kerajaan mengumumkan kadar tol di 18 lebuh raya di sekitar Lembah Klang naik antara 10 sen hingga RM3 atas alasan kerajaan harus mengikut persetujuan konsesi dengan syarikat tol.
Pengumuman itu menyebabkan keributan reaksi pengguna jalan raya yang merungut bahawa mereka terpaksa menanggung kenaikan tol sedangkan tiada usaha memperbaiki situasi kesesakan lalu lintas di semua jalan sekitar Kuala Lumpur.

Sementara keengganan kerajaan untuk masuk campur pula membolehkan syarikat konsesi mengaut keuntungan walaupun kos pembinaan lebuhraya sudah lama langsai.

Kenapa bayar lebih?

Soalan yang ditanya oleh semua orang ialah: ‘Kenapa kami perlu bayar lebih sedangkan tidak ada penambahbaikan?’

Kesesakan lalu lintas di lebuh raya Lembah Klang berlaku setiap masa dan ia bertambah parah pada waktu puncak ataupun ketika banjir kilat.

Berbeza dengan fikiran Ahli Parlimen Kota Belud, kebanyakan pengguna tiada pilihan selain menggunakan lebuh raya kerana tidak ada langsung laluan alternatif. Dan, kalaupun ada laluan lain, itu tidak menjanjikan pengguna tidak berhadapan kesesakan.

Ketika pengguna jalan raya menangisi nasib mereka, beliau dengan mudah melepaskan tanggungjawab dan menyebut ia sebagai ‘pilihan yang memerlukan pengorbanan’.
Ya, memang ia sebuah pilihan.

JPMBagi kerajaan, ia sebuah pilihan antara memberi subsidi pengangkutan awam atau membina lebih banyak lebuh raya – antara memotong peruntukan hal yang tidak memberi keuntungan besar atau melebihkan peruntukan untuk sektor lebih ‘penting’ seperti peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang melonjak sebaliknya mengurangkan peruntukan sektor pendidikan dan pengangkutan.

Bagi pengguna pula, ia sebuah pilihan antara membayar tol atau pulang awal ke rumah untuk makan malam bersama keluarga atau tiba tepat di rumah jagaan untuk mengambil anak atau pulang lewat dan makan malam di pejabat atau berpindah ke tempat lebih dekat untuk mengurangkan masa perjalanan yang mungkin mencecah dua jam atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam juga tidak relevan memandangkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga mengumumkan kenaikan kadar tambang untuk perkhidmatan KTMB Komuter.

Dengan kadar baru itu, pengguna yang mahu mengelak membayar tol juga tiada pilihan lain. Kenaikan kadar tambang KTMB sebanyak 36 peratus itu pasti menambahkan beban pengguna komuter. Untuk perjalanan dari stesen Mid Valley ke KL Sentral (satu stesen dengan jarak 6.2 kilometer) menelan kos RM1.50 berbanding RM1 sebelumnya.

Rakyat tanggung kerugian KTMB?

Pengarah KTMB, Sarbini Tijan ada menyatakan Putrajaya tidak meluluskan jumlah penuh subsidi yang dimohon dan kenaikan kadar tambang menjadi jalan terakhir untuk menampung kerugian.

Mengikut Sarbini, syarikat pengangkutan itu juga terkesan dengan kejatuhan ringgit memandangkan alat ganti dibeli melalui transaksi dolar Amerika.

Dalam situasi ekonomi negara yang merudum, peningkatan kos pengangkutan tidak harus diletakkan di bahu pengguna. Kerajaan patut menyediakan khidmat pengangkutan awam yang lebih baik dan mampu untuk membantu rakyat biasa menghadapi beban inflasi akibat situasi ekonomi tidak menentu.

Tanggungjawab sosial kerajaan dalam memastikan kesediaan khidmat pengangkutan awam yang mencukupi untuk rakyat harus ditanggung oleh kerajaan, dan rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan kerugian yang dialami KTMB.

Kerajaan mesti memberi lebih banyak peruntukan untuk perkhidmatan awam seperti yang diperuntuk untuk sektor kesihatan dan pendidikan. Inilah keperluan awam yang asas yang diperlukan rakyat untuk menjalani kehidupan lebih baik.

kemalangan motosikalKos kereta dan pengangkutan awam yang semakin tinggi menyebabkan rakyat terpaksa memilih menggunakan motorsikal dan ia mendorong kadar kematian jalan raya yang lebih tinggi.

Setiap kali harga minyak naik, kadar kematian penunggang motorsikal meningkat kerana rakyat dari kalangan berpendapatan rendah terpaksa beralih daripada menggunakan kereta kepada motorsikal.

Inilah masa terbaik untuk mengurangkan kadar tambang pengangkutan awam sebagai cara menggalakkan rakyat bertukar daripada mod pengangkutan persendirian kepada bas dan kereta api.

Namun, tanpa visi ke arah khidmat pengangkutan yang komprehensif dan lestari, kita akan terperangkap dengan lebih banyak lebuh raya mahal dan lebih banyak tol yang perlu dibayar.

Malah, masalah kesesakan lalu lintas dan keperluan terhadap pengangkutan awam tidak akan selesai-selesai.

 * Liew Chin Tong ialag Ahli Parlimen Kluang

Tiada ulasan: