KUALA LUMPUR,  Kerajaan akan memastikan filem-filem di Malaysia ditapis mengikut prosedur-prosedur yang ditetaapkan di bawah Akta Penapisan Filem walaupun terdapat menteri kabinet yang meminta ia diubah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata peraturan di bawah akta tersebut menekankan empat aspek yang perlu diberi perhatian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) iaitu kententeraman awam dan keselamatan, sosial budaya, keagamaan, kesopanan dan kesusilaan.

“Kerajaan ada LPF dan panduan-panduannya…memang ada seorang menteri beri pandangan (LPF lebih terbuka).

“Kita ikut apa yang ditetapkan, tidak mungkin kita ubah fikiran. Di LPF kita ada pengerusi dan ahli-ahli yang bertindak seperti apa yang tertakluk di bawah Akta Filem 2002,” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen PAS-Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta kerajaan menyatakan sama ada akan meneruskan sistem dan garis panduan sedia ada atau mengubahnya seperti yang dicadangkan oleh menteri kabinet tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini menyifatkan LPF berfikiran sempit ketika mengulas garis panduan penerbitan drama dan filem yang dikeluarkan oleh LPF baru-baru ini.

Kata Azalina, adegan seperti berpelukan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya sekadar lakonan yang tidak mengundang ke arah maksiat terhadap penonton.

“Kalau nak cakap babak-babak itu boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen kerana di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat.

“Kita tidak boleh berfikiran sempit. Kalau semua tak boleh, takkan nak bercakap dengan bantal?” kata bekas Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).