Isnin, 16 November 2015

Pemuda PAS serah kepada pusat tentukan nasib Husam

 Oleh Nur Atiqah Samad

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menyerahkan kepada parti berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap Datuk Husam Musa ekoran kelantangannya mengkritik Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Katanya, bekas Naib Presiden PAS itu berhak membuat pilihan sama ada untuk meninggalkan parti atau tidak.  
 
"Dia dah pilih jalan dia, jadi kita tengoklah apa akan berlaku.  
 
"Dalam PAS ni bagi kita yang kekal (ahli) istiqamah tu akan selamat dalam PAS dan apa yang Husam buat tu adalah pilihan dia sebagaimana orang lain yang buat pilihan.
 
"Kita tengok keputusan parti untuk buang dia," beliau berkata demikian di Lobi Parlimen hari ini.
 
Ketika ditanya mengenai tarikh mesyuarat PAS Pusat bagi membincangkan mengenai kedudukan Husam, Nik Abduh memberitahu beliau tidak terlibat dalam perkara itu.
 
Semalam Hadi memberitahu, Husam bakal berdepan dengan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dipecat daripada parti itu.
 
ADUN Salor itu dilihat semakin lantang melontar pelbagai tuduhan terhadap Hadi dan juga kerajaan Kelantan.
 
Bukan itu sahaja, beliau turut mengaitkan Hadi kepada dakwaan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS di Selangor semasa krisis jawatan Menteri Besar Selangor ekoran pergolakan dalam PKR tahun lalu. 
 
Husam pada 6 November lalu mendedahkan Hadi pernah memberitahu beliau bahawa PAS sedang bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor ekoran krisis pentadbiran di negeri berkenaan.

Tiada ulasan: