Jumaat, 20 November 2015

PDRM tingkatkan keselamatan untuk sidang kemuncak ASEAN di KL

Bernama 





Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan tahap keselamatan sedia ada secara menyeluruh untuk sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat berikutan beberapa serangan pengganas di Perancis, Mesir, Lubnan dan Filipina.

"Pemeriksaan keselamatan di semua pintu masuk dan keluar Malaysia telah ditingkatkan.

"Selain itu, seperti yang diumumkan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain, anggota tentera turut serta dalam operasi bersama bagi memastikan tahap keselamatan maksimum ketika sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak Berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat laporan terhadap ancaman pengganas di Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan.

"Pihak keselamatan mengambil semua langkah berjaga-jaga dan tiada ruang untuk mengambil mudah. Tiada keutamaan lain selain keselamatan rakyat Malaysia dan tetamu kita," katanya.

Khalid berkata keganasan dan tindakan melampau tiada tempat di negara ini.

"Kami tidak akan berhenti memburu dan menangani sesiapa sahaja yang mahu menggugat keamanan dan kestabilan negara ini," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan maklumat yang terkandung dalam satu surat pekeliling PDRM mengenai kehadiran pengebom berani mati di negara ini, adalah berdasarkan maklumat risikan dalaman polis supaya semua anggotanya sentiasa mengambil tindakan proaktif.

Pengarah Cawangan Khas PDRM Bukit Aman Datuk Seri Fuzi Harun ketika mengulas mengenai surat pekeliling itu yang tersebar di media sosial, beliau berkata ia bertujuan supaya pasukannya sentiasa berhati-hati.

"Itu sebenarnya adalah arahan dalaman, untuk kita sentiasa berhati-hati. Ia adalah maklumat yang kita terima tetapi kita tidak dapat yang nyata... Ia mungkin betul, mungkin tidak tetapi tindakan tetap diambil," katanya kepada Bernama dihubungi semalam.

Menurutnya PDRM sentiasa mengambil tindakan proaktif terhadap sebarang maklumat walaupun ia 'sekecil-kecil maklumat'.

"Maklumat-maklumat ini kita akan maklumkan kepada anggota kita untuk sebarang tindakan," katanya.

Sebuah portal berita tempatan semalam melaporkan mengenai surat pekeliling dalaman polis yang mendedahkan mengenai kehadiran pengebom berani mati di Sabah dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara dilaporkan mengesahkan kesahihan surat pekeliling itu, namun kesal dengan kebocoran maklumat yang dianggapnya sensitif.

Beliau berkata polis sedang memantau semua potensi ancaman dan tindakan sedang diambil untuk mengagalkan atau meneutralkan mereka selain polis tidak akan bertolak ansur dalam menangani unsur-unsur keganasan.

Pekeliling bertarikh 16 November dari Ibu Pejabat Polis Sabah adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung satu "mesyuarat dan perancangan" antara Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), militan IS dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Pekeliling berkenaan turut meminta anggota polis supaya meningkatkan rondaan dan risikan manakala pos-pos dan unit hadapan diminta sentiasa dalam keadaan siap siaga serta saling berkomunikasi..
- Bernama


Tiada ulasan: