Isnin, 16 November 2015

PAS syor tiga cadangan kemas kini Bajet 2016

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyifatkan Bajet 2016 yang dibentangkan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengandungi elemen ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara, walau secara keseluruhannya merangkumi elemen penting bagi pembangunan negara. 
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bajet yang dibentangkan perdana menteri itu boleh disifatkan sebagai 'menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat'.
 
"PAS melihat terdapat ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang telah mengenakan cukai kepada golongan faqir dan miskin, justeru bajet ini dilihat sebagai 'bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat'.
 
"PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya dua aspek besar pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih berkesan, iaitu aspek kejatuhan nilai ringgit, dan aspek kos sara hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Ujar Ahli Parlimen Marang itu juga, penyediaan bajet pada kali ini dilihat tidak berlandaskan beberapa prinsip penting, termasuk prinsip melibatkan harta negara tidak boleh berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.
 
"Prinsip ini jelas dinaskan di dalam al-Quran. Keduanya, prinsip cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin.
 
"Ketiganya, golongan fakir dan miskin adalah dua sasaran utama sistem ekonomi Islam," katanya.
 
Sehubungan itu, PAS kata Hadi mengesyorkan beberapa cadangan penyelesaian kepada tiga masalah utama yang dikemukakan oleh Bajet 2016 bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip syariat Islam. 
 
"Penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan kesilapan kerajaan Malaysia bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara - iaitu mengenakan cukai atas simpanan syarikat dan korporat (Tax on Saving) dan cukai perdagangan saham Di Bursa Saham Malaysia (Tax On Share Trading).
 
"Penyelesaian kepada masalah kejatuhan ringgit dan kesannya kepada perbelanjaan negara dan rakyat boleh diatasi dengan penggantian import (Import Substitution) untuk tempoh terhad serta meneliti semula kontrak kerajaan (Value Enginering).
 
"Penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat, iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat boleh ditangani dengan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) oleh majikan swasta dan projek 'mampu memiliki rumah',” katanya.
 
Tambah Hadi lagi, butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan-cadangan ini terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada kerajaan dan akan diumumkan kemudiannya kepada rakyat.
 
 

Tiada ulasan: