Khamis, 26 November 2015

PAS Selangor tetap pertahan kerusi yang dimenangi pada PRU-13

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Meskipun belum lagi membuat sebarang keputusan berhubung calon untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, PAS Selangor tetap akan bertanding di kerusi yang dimenanginya, demikian tegas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa PAS Selangor belum lagi membuat sebarang keputusan tentang calon-calon pilihan raya umum yang akan datang.
 
"Begitu juga keputusan belum dibuat tentang kerusi-kerusi tambahan, sama ada Dewan Negeri atau Parlimen, yang mungkin ditandingi.
 
"Setakat ini PAS Selangor hanya membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2013.
 
"Oleh yang demikian, saya berharap tidak ada pihak yang akan membuat sebarang spekulasi," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
 
Sebelum ini DAP Selangor menyatakan kesediaannya untuk bertanding di lapan kerusi DUN milik PAS di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Kerusi-kerusi tersebut adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
 
Menurut Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, parti itu yakin akan menang jika berlakunya pertandingan tiga penjuru.
 
Iskandar, yang merupakan ADUN Cempaka juga menggesa pihak luar tidak mudah mempercayai sebarang khabar angin yang mengaitkan beliau akan bertanding di kerusi-kerusi lain.
 
"Baru-baru ini terdapat khabar angin bahawa saya akan juga bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang atau Kota Raja selain dari kerusi Dewan Negeri.
 
"Mungkin ini terjadi kerana saya kerap ke kedua-dua kawasan tersebut," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: