Jumaat, 20 November 2015

PAS kutuk pembunuhan kejam rakyat Sarawak



Oleh Jofri Jaraiee


Satu kepala terpenggal dipercayai milik Bernard Then Ted Fen tebusan dari Malaysia dijumpai berhampiran bangunan majlis perbandaran di Pulau Jolo pada petang Selasa, menurut pegawai polis selatan Filipina.

Menurut The Star, Ketua Polis Jolo Major Junpikar Sitin diberitahu penyapu jalan menjumpai kepala di dalam sebuah karung dengan perkataan "Bernard Then Ted Fen" di Marina Street di Barangay Chat City di Jolo jam 8.30 malam Selasa lalu. Kepala tersebut dipercayai milik Then, 39, seorang jurutera elektrik rakyat Sarawak, yang dipercayai dibunuh kumpulan penculik dari Selatan Filipina.

Laporan perisikan dari Jolo menunjukkan Then dipancung puak Abu Sayyaf yang diketuai Idang Susukan di Indanan berikutan tarikh akhir diberikan selama seminggu untuk memenuhi permintaan mendapatkan wang tebusan lebih tinggi dibuat semasa pembebasan pemilik restoran Sabah, Thien Nyuk Fun pada 9 November.


Laporan juga menyatakan pemotongan kepala itu berlaku apabila tentera Filipina mempergiatkan operasinya terhadap Abu Sayyaf di kawasan Indanan itu. Brigadier-Jeneral Alan Arrojado, komander Pasukan Petugas Bersama Kumpulan Sulu, yang mengesahkan Then dipancung, juga menyatakan badan itu segera dikebumikan di persekitaran di mana pemotongan kepala itu berlaku.

Beliau juga berkata pemotongan kepala itu berlaku ketika tentera melancarkan serangan meriam pada kedudukan tahanan tebusan di Jolo. Arrojado berkata usaha kini sedang dibuat untuk mencari mayat Then.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar polis masih cuba mengesahkan maklumat tersebut dengan sumber rasmi. Pembunuhan kejam yang dilakukan pengganas terhadap para tebusan di Selatan Filipina baru-baru ini ke atas rakyat Sarawak amat dikesali. Islam melarang umatnya membunuh sesama insan tanpa mengira bangsa dan agama.

Perbuatan mereka yang melakukan keganasan dan kekejaman terhadap orang awam ini sebenarnya bukan ajaran Islam. Mereka yang mengaku sebagai seorang Islam dilarang melakukan perkara tersebut dan ini bukannya sikap mereka yang mengikut ajaran Islam sebenar dibawa dan diajar Rasulullah.

Sebarang kegiatan keganasan dilakukan puak pelampau yang berlaku sekarang, jangan dikaitkan dengan ajaran Islam kerana Islam adalah agama pendamaian bukan seperti digambarkan media anti Islam.

Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas orang awam dan kita juga ingin mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa. Pasukan keselamatan harus meningkatkan lagi kawalan dan keselamatan di kawasan sering menjadi sasaran penculikan.

Kita mahu hubungan harmoni sesama bangsa dan agama di Malaysia dan khususnya di Sarawak akan terus dikekalkan dan kita menentang sebarang bentuk keganasan terhadap sesama insan.

Tiada ulasan: