Selasa, 24 November 2015

PAS beri pilihan tarikh pada Husam untuk mengadap

Shakira Buang


 


Dewan Harian PAS Pusat memberi tempoh 30 November hingga 6 Disember ini kepada Datuk Husam Musa untuk memberi penjelasan antaranya berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan.

Bercakap kepada pemberita petang ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pindaan tarikh itu dibuat ekoran masalah kesihatan yang dialami ADUN Salor ini.

"Sepatutnya Husam hadir di hadapan Jawatankuasa PAS Pusat untuk beri penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat beliau dalam ceramah pada 5 November lalu.

"Pada 17 November, kita telah utus surat tapi tak dapat respon dan kemudian kita dapat dimaklumkan melalui portal berita dan WhatsApp kata tarikh tersebut tak sesuai kerana berada di China.

“Saya telah hantar satu lagi surat pada 21 November dan saya telah email serta mesej melalui Whatsapp dan bagi enam tarikh untuk dipilih dari 30 November hingga 6 Disember depan,” kata Takiyuddin dalam sidang media di ibu pejabat parti itu petang ini

Husam yang juga bekas naib presiden PAS sebelum ini memberitahu sedia bertemu dengan Dewan Harian PAS Pusat bagi menjelaskan teguran yang dibuatnya.

Bagaimanapun, Husam memohon agar pertemuan itu ditangguhkan memandangkan beliau kini di China bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Jelas Husam, beliau berada di luar negara sejak minggu lalu dan tidak menerima sebarang surat tetapi masih boleh dihubungi melalui SMS, Whatsapp dan emel.

Husam dilaporkan mengikut jadual asal akan pulang ke tanah air kelmarin, namun atas nasihat doktor rawatan tersebut akan dilanjutkan kepada beberapa hari lagi.

Sementara itu, mengulas status wakil tunggal PAS Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang, Takiyuddin berkata beliau mengarahkan ADUN Pasir itu memberi penjelasan kepada PAS Pulau Pinang, Khamis ini.

"Hari ini kita jemput pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan setiausahanya untuk taklimat dan buat beberapa arahan.

"Pertamanya PAS Pusat memperakui tindakan dibuat JKKK PAS di Pulau Pinang untuk letak jawatan kerana tidak ada hubungan dengan Pakatan Harapan di sana.

"Salleh Man akan dipanggil pada 26 November ini bagi memberi penjelasan kepada PAS Pulau Pinang. Jadi kita serahkan kepada PAS Pulau Pinang untuk ambil tindakan," kata Takiyuddin.


Tiada ulasan: