Isnin, 23 November 2015

PAS ada sebab tidak sokong usul undi tidak percaya - Zuhdi Marzuki

 Oleh Sharifah Azmawatie Syed Abd Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mempunyai sebab mengapa enggan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
 
Ujarnya, jikapun undi tidak percaya itu berjaya menggulingkan Najib ia tidak bermaksud kerajaan baru akan dibentuk.
 
Besar kemungkinan perdana menteri baru akan dilantik, tetapi Umno Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negara.  
 
"Kalau buat undi tidak percaya apa yang akan berlaku? Apakah dengan bubar Parlimen? Ada perdana menteri baru? Atau pun akan ada pentadbiran sementara dan sebagainya.
 
"Kalau tiada penjelasan tentang itu, kita akan mencipta masalah baru yang akan lebih menyebabkan ketidakstabilan, bukan bermakna kita sokong Datuk Seri Najib, tidak.
 
"Tetapi dalam keadaan sekarang, kita perlu berfikir, kalau hendak menyelesaikan masalah, apakah tindakan itu betul-betul akan menyelesaikan masalah? Atau pun penyelesaian itu akan mencetus masalah baru?," katanya ketika ditemubual secara ekslusif Antarapos, baru-baru ini.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengutarakan pandangan yang sama bahawa undi tidak percaya tidak menjanjikan pembangkang akan membentuk kerajaan di Putrajaya.
 
Hadi juga berkata PAS lebih berminat untuk menukar kerajaan dengan cara yang lebih berkesan  dan tidak mendatangkan huru hara iaitu melalui pilihan raya. 
 
Zuhdi dalam pada itu turut menjelaskan rasional mengapa PAS tidak menyokong usul untuk menolak bajet 2016 sepertimana dibuat PKR, DAP dan Amanah, minggu lalu.
 
"Kalau kita tolak bajet, apa yang akan berlaku? Bajet tidak diluluskan, gaji penjawat awam pada 1 Januari siapa yang hendak bayar? Peruntukan-peruntukan untuk kontraktor siapa yang hendak bayar?
 
"Dia akan menyebabkan negara berlaku lebih banyak masalah, jadi bukan itu cara hendak menyatukan kerajaan, jatuhkan kerajaan dengan cara ini akan menyebabkan masalah lebih besar," tegasnya. 
 
Justeru, wakil rakyat PAS perlu bertindak lebih rasional dan tidak mengutamakan kepentingan politik parti semata-mata melebihi kepentingan negara.
 
"Itu yang PAS mahu lihat perkara ini menjadi ahli-ahli politik yang bersifat negarawan memandang kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti-parti politik," katanya.
 
Bajet 2016 yang dibentangkan Najib diluluskan dengan 128 ahli Parlimen menyokong sementara 74 menentang, sekaligus menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan undi tidak percaya ke atas perdana menteri.
 
Ketika udian dibuat ahli Parlimen PAS mengambil sikap berkecuali, kecuali tiga ahlinya.
 
Tiga ahli Parlimen itu Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena), Ahmad Baihaki Atiqullah (Ahli Parlimen Kubang Kerian) dan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Ahli Parlimen Pasir Puteh).
 
 

Tiada ulasan: