Jumaat, 20 November 2015

Paris diserang, cui bono?

Hishamuddin Rais


 


Hujung minggu ini tetiba dunia heboh dengan ledakan dan serangan yang telah berlaku dalam kota Paris. Dunia tetiba terpaksa menjadi sedih. Presiden, perdana menteri, pemimpin negara dari pelbagai bentuk dan warna menyatakan simpati kepada Perancis.

Eropah berkabung. Bangunan Sydney Opera bertukar warna menjadi warna bendera Perancis. Malah portal Malaysiakini dan The Malaysian Insider juga telah menjadikan serangan di Paris sebagai induk berita.

Begitulah kuatnya ‘besi berani’ media milik pemodal Anglo-Amerika menabur naratif untuk dunia bersimpati sehingga kita lupa apa cerita yang sebenarnya. Dan apa sebenarnya di belakang cerita.

Jangan silap faham ini bukan bermakna saya tidak bersimpati kepada yang gugur dan tewas. Ini bukan bermakna saya bersimpati dengan keganasan.

Apa yang ingin saya huraikan di sini adalah lebih dari tanda-tanda simpati. Lebih dari slogan #KitaSemuaPeranchis. Lebih dari meletakkan bunga untuk mereka yang gugur.

Kematian adalah kematian. Bila ada yang mati kaum keluarga akan bersedih. Air mata akan berguguran. Kita mengucapkan Al-Fatihah kepada kepada yang gugur tanpa mengira kulit, agama dan warna.

Tetapi pada ketika ini, dari pemerhatian saya, amat jelas kematian mereka Yang Berkulit Putih lebih bernilai dari kematian mereka Yang Berkulit Tidak Putih.

Saya cukup yakin dengan kenyataan saya ini. Bukti saya cukup senang: Dua malam sebelum Paris diserang, dua bom meledak di wilayah Burj al-Barajneh di kota Beirut. Seramai 42 orang tewas dan puluhan cedera. Bom yang meledak di Beirut ini juga dikatakan hasil kerja ISIS.

Berita bom meledak di Beirut muncul dan terus padam. Tidak ada siaran terus menerus dari CNN atau BBC. Malaysiakini dan The Malaysian Insider tidak menjadikan berita ini sebagai induk berita.

Media Internet tidak membuat laporan terus menerus seperti yang dilakukan oleh The Guardian.

Wartawan dunia tidak berbondong-bondong terbang ke Beirut. Tidak ada slogan #wearealllebanese.
Hakikatnya tidak seheboh yang sedang berlaku di kota Paris. Media tidak ambil pot apabila yang tewas dan gugur tidak berkulit putih. Justeru persoalan timbul – kenapa ini berlaku?

Persoalan ini wajib mendapat jawapan. Memahami jawapan ini bermakna kita semua memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Di sini saya menjawab dan cuba memberi pencerahan.

Awal wahid – saya berani berkata: Apa yang kamu tanam maka itulah yang kamu tuai. Kalau kamu tanam padi maka kamu akan mendapat beras. Kalau kamu tanam pasir mustahil gandum yang akan kamu tuai.
Hukum ini tidak berubah-ubah – untuk yang berkulit putih atau yang berkulit hitam.

Justeru saya menyatakan di sini bahawa kematian di kota Paris ini tidak boleh dipisah dari apa yang sedang berlaku di Timur Tengah. Serangan gerila ISIS ini tidak boleh dipisah dari apa yang sedang berlaku di Syria. Tidak boleh dipisahkan dari apa yang sedang belaku di Libya, di Iraq, di Afghanistan, di Yaman atau di Iran.

Membuat laporan berita tanpa mengaitkan dengan apa yang sedang berlaku di Timur Tengah pada ketika ini adalah laporan yang tidak jujur. Bukan sahaja berita tidak jujur malah berita ini bertujuan jahat.

Meminggirkan politik Timur Tengah dalam naratif berita ledakan di Paris akan dilihat sebagai usaha untuk memandulkan kesedaran pembaca dari memahami kerja jahat yang sedang dirancang dan sedang dijalankan oleh gerakan Zionis-Anglo-Amerikan.

Untuk saya, ledakan di Paris hujung minggu ini bukan hanya berpunca dari perang di Syria atau di Iraq atau di Afghanistan. Saya melihat lebih jauh dari itu. Saya melihat semuanya berpunca dari kewujudan negara zionis Israel yang telah dipacakkan di bumi Arab semenjak tahun 1948.

Pada hemat saya kewujudan negara zionis Israel inilah punca utama yang sedang memporak perandakan dunia Arab. Gerakan zionis antarabangsa ini juga yang sedang mengharu-birukan bukan sahaja warga Arab, warga Islam malah sedang memporak-peranda umat manusia.

Gerakan zionis ini sedang bersekongkol dengan kuasa imperial Anglo-Amerika untuk menjadi satu gerakan Zionis-Anglo-Amerika yang ampuh untuk menawan dunia.

Pada awalnya, sesudah perang dunia kedua, Israel adalah projek Anglo-Zionis. Kini Israel telah menjadi projek utama untuk kuasa imperial Zionis-Anglo-Amerika. Persekongkolan tiga kuasa telah dan sedang mengkemudikan politik dan ekonomi dunia.

Keterlibatan Perancis dalam dunia Arab bukan satu yang baru. Harus kita sedari bahawa peta dan wilayah Negara Sham – Palestin, Lubnan, Syria, Jordan dan Iraq – adalah hasil kerja kuasa kolonial British dan Perancis.

Perjanjian Sykes-Picot 1916 telah memecah-belahkan bumi Arab dalam usaha untuk meruntuhkan Empayar Ottoman.

Perjanjian Sykes-Picot ini sama saperti Anglo-Dutch Treaty 1924 yang memisahkan Bumi Melayu – untuk menjadi Tanah Melayu dan Indonesia. Perjanjian Anglo Thai 1906 memisahkan empat wilayah Melayu di Selatan Siam. Jelas sempadan yang wujud hari ini adalah hasil projek kuasa kolonial.

Sebagai ingatan bersama: Perkara pertama yang dilakukan oleh ISIS ialah memusnahkan sempadan yang didirikan Perjanjian Sykes-Picot ini. Gerakan Khalifah di bawah ISIS menolak semua bentuk sempadan yang didirikan oleh penjajah. Justeru langkah ISIS ini mendapat sambutan hangat warga Arab.

Pada ketika ini dunia telah diberitahu bahawa ledakan dan serangan di Paris minggu lalu ialah kerja gerila ISIS. Pada ketika ini dunia difahamkan bahawa lapan gerila ini telah ditembak mati. Pada ketika ini dunia telah diberitahu bahawa gerila ISIS ini ada memiliki jaringan di Perancis, Belgium dan Eropah. Pada ketika ini media dunia telah memainkan berapa gambar muka dan nama mereka yang dikatakan gerila ISIS.

Untuk saya hampir semua cerita dan berita yang dilaporkan telah pernah saya dengar. Yang berbeza hanya pelakonnya bertukar ganti. Isi dan teknik naratifnya sama.

Ketika WTC meledak di New York, Presiden Bush tmuncul di kaca TV. Bush telah membuat kenyataan yang sama seperti yang dilafazkan oleh Presiden Francois Hollande – “We are at war (kita sedang berperang).”

Presiden Perancis ini tidak melafazkan apa-apa yang baru.

Malah berita-berita biasa ini sekali lagi menjadi berita lawak apabila pasport salah seorang yang ditembak mati di Gedung Musik Batclan ditemui. Apabila pasport ditemui maka saya tidak dapat tidak telah ketawa terbahak-bahak.

Minta maaf bukan kerana saya bersikap kurang ajar kepada kaum keluarga yang gugur. Ini bukan niat saya. Saya ketawa terbahak-bahak kerana “penemuan paspot” ini membawa ingatan saya pulang ke zaman Ghazali Shafie menjadi Menteri Dalam Negeri.

Pada 26 Ogos 1975, Tugu Kebangsaan yang terletak berhampiran Parlimen telah diledakkan oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya. Pada malamnya, Ghazali Shafie muncul di TV.

Dia membuat kenyataan mengatakan bahawa kad pengenalan gerila ini telah tercicir dan ditemui di sebelah tugu yang telah musnah. Mengikut labon menteri ini, pihak polis sedang mencari si polan dan si polan yang tercicir kad pengenalan. Ini berlaku 40 tahun dahulu.

Apabila WTC meledak pada 11 September 2001, perkara yang sama telah juga terjadi. Para pembaca mungkin ketawa sama seperti saya kerana dalam muntahan kebakaran bangunan WTC ini, tiba-tiba ditemui pasport Satam al-Sugami, warga Saudi yang dikatakan salah seorang perampas kapal terbang yang melanggar WTC.

Bagaimana pasport milik al-Sugami ini boleh selamat dalam muntahan api ini wallah hu alam bissawab.

Kisah pasport ini belum selesai. Saya ingin mengembalikan ingatan para pembaca kepada apa yang berlaku di Paris pada bulan Januari lalu di mana pejabat majalah kartun Charlie Hebdo diserang. Kisahnya sama seperti kes Tugu Negara kita 40 tahun dahulu. Si Penyerang Charlie Hebdo ini juga tertinggal kad pengenalan dalam kereta. Ini bukan lawak ini fakta.

Tertinggal pasport dan kad pengenalan ini kini kelihatan telah mejadi SOP kepada para gerila dan perampas kapal terbang. Atau adakah ini hanya SOP lama dari kitab kuning tentang teknik dan cara perang saraf?

Mungkin ada yang percaya tetapi saya yakin ramai yang membaca tulisan saya akan tertanya-tanya apakah fakta yang saya tulis ini betul, atau saya hanya menabur fitnah?

Untuk ledakan Tugu Negara sila pergi ke Arkib Negara untuk mencari fakta. Untuk kes pasport WTC 9/11 dan Charlie Hebdo sila tanya Lebai Google. Jawapan akan terpampang jelas.

Mari kita kembali ke Paris dan bertanya apa sebenarnya yang telah berlaku. Untuk saya, saya tidak akan membuat rumusan serta merta ke atas apa sahaja berita serangan, ledakan seperti yang berlaku di Paris.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa lapan gerila ISIS telah menyerang kota Paris. Mereka telah menembak secara rambang sesiapa sahaja di hadapan mereka. Seramai 150 orang telah gugur dan jumlah mungkin bertambah. Yang mereka bunuh bukan tentera, bukan soldadu tetapi orang biasa. Semua ini adalah berita benar.

Di belakang “berita benar” ini ada lagi “berita yang lagi benar”. Kini telah mula tersebar bahawa beberapa orang gerila ini telah lama dikenal baik oleh badan risikan Perancis. Ini sama seperti para perampas kapal terbang yang melanggar WTC. Mereka juga dikenali baik oleh FBI dan CIA.

Justeru ini sebelum kita membuat apa-apa rumusan, kita wajib bertanya satu soalan hakiki – Cui bono? Soalan dalam bahasa Latin ini bermakna, siapa dapat untung?

HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.


Tiada ulasan: