Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin berkata, sidang media diadakan berikutan ahli-ahli jawatankuasa itu bertanggungjawab terhadap Parlimen.
"Kami ahli-ahli PAC bertanggungjawab kepada Parlimen dan Parlimen bertanggungjawab kepada rakyat.
"Dan adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli PAC untuk menjelaskan dari semasa ke semasa tentang perkara-perkara yang dibincangkan oleh PAC," katanya pada sidang media berhubung pembentangan Laporan Ketua Audit Negara siri 3/2014 di Parlimen di sini, Isnin.
Isu kenyataan 'cari makan' timbul pada Rabu lalu semasa Hasan mempengerusikan mesyuarat PAC pertama dan topik yang dibincangkan adalah mengenai kelewatan projek lebuhraya pantai timur II dan kelemahan projek akuakultur yang dikendalikan Pihak berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.
Bagaimanapun ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penasihat syarikat itu akan dipanggil PAC berkaitan isu 1MDB, Hasan dilaporkan berkata, "Saya pun cari makan".
"Tidak perlu panggil Perdana Menteri. Janganlah, saya pun cari makan," katanya.
Menerusi kenyataannya pada Khamis lalu, Hasan berkata, walaupun beliau meminta wartawan supaya tidak menyiarkan kenyataannya itu, kerana katanya ia sekadar gurauan, tetapi masih ada yang menyiarkannya.
"Sehubungan itu, mulai 23 November (Isnin), PAC tidak akan adakan sebarang sidang media," kata Hasan sambil menambah bahawa sebarang maklumat akan disampaikan menerusi kenyataan rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan