Isnin, 16 November 2015

NOW persoal kursus kahwin RM290,000 YaPEIM di Paris

 
Akmal Nasir mendedahkan dua program tersebut melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Paris.


NOWakmal


PETALING JAYA: National Oversight and Whistleblowers (NOW) mempersoal kewajaran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membelanjakan RM290,000 untuk membiayai dua program kursus kahwin di Paris, Perancis melalui dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskim (PEMANGKIN).

Ketua Pengarah NOW, Akmal Nasir mendedahkan dua program tersebut diadakan secara berturut-turut pada hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015 melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Paris.

“Apakah kewajaran YAPEIM menganjurkan Kursus Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawan dan Pengurusan di Paris dengan kos RM290,000?

“Bukanka anak yatim atau orang miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YAPEIM?” soal Akmal dalam satu sidang media pada Isnin.

Menurut Akmal, aktiviti pertama, ‘Kursus dan Kembara Santun 2014 Kelab Santun Eropah’ diadakan pada 20 Disember 2014 hingga 28 Disember 2014 menelan kos sebanyak RM176,500.

Manakala program kedua, ‘Program Transformasi Warga Santun Kelab Santun Eropah’ yang berlangsung dari 29 Disember 2014 sehingga 3 Januari 2015 pula menelan kosn RM113,500.

“Penganjuran program di Paris ini langsung tidak mencerminkan matlamat serta amal jariah YaPEIM.
“Tidak adakah anak yatim atau orang miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YaPEIM?” soal Akmal.

Beliau juga menekankan sumbangan dana kepada YaPEIM yang diperoleh melalui potongan gaji bulanan melibatkan pencarum lebih setengah juta rakyat Malaysia bertujuan untuk kegiatan amal jariah dan kebajikan.

“Ia bukan untuk dibelanjakan untuk penganjuran program-program di luar negara.

“Justeru saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk menjawab persoalan-persoalan berkenaan dengan rakyat bukan dengan mencabar beliau di mahkamah,” tegas beliau.

Tiada ulasan: