Isnin, 30 November 2015

Muhyiddin tak mahu jadi timbalan presiden bisu


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
 
 
MUAR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan beliau bersuara sebelum ini adalah kerana mahu menegakkan kebenaran.

Menurutnya,  beliau tetap akan bersuara walaupun dituduh melanggar disiplin parti kerana tidak mahu menjadi timbalan presiden yang bisu.

“Adakah negara ini sudah tidak mempunyai hak bersuara, adakah hanya saya memberikan pandangan dan nasihat sebelum ini, ianya tindakan yang salah?

“Saya percaya jika saya tidak bersuara, rakyat sendiri akan bersuara dan sebab itulah saya bersuara dahulu, demi rakyat...bukan nak menentang atau sekadar menentang tetapi untuk kebajikan kita dan anak cucu kita nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Perhimpunan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sri Pekembar, semalam.

Katanya, beliau tetap tidak berdiam diri jika berlakunya perkara yang salah, walaupun dipecat daripada Umno dan menjadi ahli Parlimen bebas.

“Disebabkan pandangan dan juga nasihat berkenaan juga telah menyebabkan nama saya tersenarai dalam tujuh orang yang ingin merosakkan Umno, walhal pada hakikatnya jiwa saya tetap pada Umno.

“Saya buat semua ini dengan bersuara adalah kerana Umno, kerana rakyat kerana sayangkan masa depan Umno, dan adakah dengan suara saya ini (nasihat) saya tidak dibenar berucap lagi di Persidangan Umno?,” katanya.

Dalam program tersebut, satu memorandum telah diserahkan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau yang mewakili 106 Ketua Umno Cawangan di Bahagian Pagoh, melibatkan 22,400 ahli.


Tiada ulasan: