Selasa, 24 November 2015

Mereka yang desak Najib berundur kumpulan yang kecewa – Ismail Sabri

 
Matlamat mereka bukannya untuk mendesak Najib berundur sebaliknya ingin memalukan ketua UMNO bahagian selepas kalah dalam pemilihan.


Ismail-Sabri-Yaakob_umno_600


KUALA LUMPUR: Desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meletak jawatan bukan matlamat sebenar segelintir ketua UMNO cawangan.

Sebaliknya tindakan itu didorong pelbagai faktor termasuk kecewa selepas kalah dalam pemilihan peringkat bahagian.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tindakan itu dibuat bagi memalukan ketua bahagian mereka.

“Ini kumpulan kecewa dalam bahagian, jadi kadang-kadang tindakan yang dibuat itu bukan menentang Najib selaku presiden, tetapi hanya nak memalukan ketua bahagian dia.

“Kadang-kadang ianya merupakan isu dalaman…kumpulan-kumpulan ini ada yang kalah bertanding dengan Ketua Bahagian mereka, jadi kem yang kalah bertanding dalam bahagian masuk kem lain,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Sijil Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) sesi 2014/2015 di Auditorium Felcra Berhad.

Ismail berkata demikian mengulas lanjut mengenai dakwaan Ketua UMNO Cawangan Kulai Jaya 2, Zainuddin Abdul Hamid bahawa akan ada lebih banyak gerakan besar-besaran akan dibuat di mana tujuh ribu UMNO cawangan di seluruh negara akan berbuat demikian selepas merasakan diri mereka tersisih.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata ancaman itu tidak menjejaskan parti.

Katanya, penolakan terhadap presiden parti itu memang biasa berlaku dan ia tidak boleh dijadikan ukuran bahawa UMNO semakin lemah.

“Kita ada tiga juta ahli UMNO, tak semuanya puas hati memang ada yang tak puas hati, macam-macam ragamlah dengan tiga juta ahli.

“Saya difahamkan ada 22,000 ketua cawangan, jadi kalau setakat 100 atau 200 yang tak puas hati itu perkara biasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menolak dakwaan bahawa wujudnya kem Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Najib di dalam UMNO.

Katanya, penolakan beberapa ketua cawangan itu juga hanyalah diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu.

“Jadi kita tak boleh nak mengambil kes-kes terpencil ini untuk menggambarkan keadaan keseluruhan parti, tidak boleh begitu.”ujarnya.

Tiada ulasan: