Isnin, 30 November 2015

Mat Sabu: Jangan beri talian hayat pada Umno

MALAYSIAKINI


 


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan semangat kerjasama gabungan pembangkang itu sehingga mengeruhkan lagi suasana.

Beliau mahu semua pemimpin Pakatan Harapan supaya bersama-sama berusaha ke arah kesepakatan politik Pakatan Harapan yang lebih utuh, seperti yang ditegaskan oleh Presiden PPKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

"Jangan ada di antara mana-mana pimpinan Pakatan Harapan yang cuba untuk memberikan talian hayat kepada Umno BN, di saat gelombang rakyat sedang menolak mereka ekoran pelbagai skandal dan masalah yang melanda negara," kata Mohamad dalam satu kenyataan.

Bekas pimpinan PAS yang dikenali Mat Sabu itu mengulas ucapan dasar Wan Azizah yang juga ketua pembangkang dalam Kongres PKR semalam yang antara lain menggesa supaya Pakatan Harapan mesti terus diperkukuhkan.

Dalam ucapannya juga, Wan Azizah menyebut bahawa Pakatan Harapan adalah penyambung kepada penyempurnaan amanah rakyat menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

"Beliau juga menyebut bahawa Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH akan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat, untuk berhadapan dengan Umno BN," kata Mohamad.

"AMANAH ingin mengulangi komitmen, bahawa kami akan terus menjaga prinsip kesepakatan dalam Pakatan Harapan, demi sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk menumbangkan Umno BN pada PRU-14," katanya lagi.


Tiada ulasan: