Selasa, 24 November 2015

Macam-macam usaha padamkan Pas


Idris Ahmad


SHAH ALAM - Pelbagai usaha diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk 'membunuh' Pas namun parti Islam itu tetap bertahan.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, perkiraan pihak-pihak itu silap memandangkan parti itu lahir bukan atas dasar kekecewaan.

"Ada orang hendak mematikan Pas dipersada politik tanah air. Sifir mereka silap.

"Kelahiran Pas bukan kerana emosi atau kecewa dalam pertandingan. Tetapi lahir atas kesedaran untuk mendaulatkan Islam.

"Berbagai usaha untuk memadamkan Pas, namun Pas tetap segar seperti rumput yang disiram embun pagi," katanya melalui kemaskini status di Facebook, hari ini.

Pas menerima pelbagai serangan kebelakangan ini termasuk dari bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada parti dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam status berasingan, Idris menyifatkan kerajaan Kelantan hari merupakan kebanggaan ahli Pas yang menjadi mercu tanda perjuangan parti itu.

"Pas Kelantan sarat dengan pengalaman jatuh bangun dalam arena politik di negara ini.

"Bermula dengan keadaan dagang, akhirnya berjaya memerintah negeri Kelantan 1959 hingga 1978.

Kemudian dari tahun 1990 hingga kini," katanya.

Beliau bersyukur Kelantan menjadi guru politik kepada rakyat di negara ini.

Tiada ulasan: