Khamis, 26 November 2015

Liputan PAU: Setiausaha Agung Umno Pun Putar


DOLAK-DALIK mengenai sama ada liputan media di Perhimpunan Agung Umno (PAU) bulan depan hendak diteruskan seperti yang lazim atau dihadkan adalah satu lagi contoh keterdesakan kepemimpinan parti itu.

Pada mulanya, Setiausaha Agungnya (Datuk Seri Tengku) (dulunya Teuku) Adnan Mansor dilaporkan sebagai berkata, liputan akan dihadkan kerana media massa memutarbelitkan laporan.

Berita itu mendapat kutukan meluas di kalangan pengamal media massa, termasuk yang pro-Umno atau di bawah gajian Umno serta oleh peserta media sosial.

Kini Tengku Adnan dipetik sebagai berkata tindakan itu “tidak terjadi selepas menerima maklum balas daripada wakil-wakil negeri yang mahu liputan langsung.”

"Ini bermakna media pun boleh melaporkan secara terbuka. Liputan media adalah sama seperti perhimpunan-perhimpunan agung lepas," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Dolak-dalik Tengku Adnan tanda terdesak


Tengku Adnan sebelum ini berkata, sekatan terhadap media dibuat kerana media online suka "memutarkan berita".

Katanya, media akan terus dimaklumkan perkembangan perhimpunan itu melalui sidang media harian yang akan diberikan oleh dua orang naib presiden Umno.

Kepemimpinan Umno Sesat Jalan

Masalah Umno hari ini adalah kerana para pemimpinnya gagal membezakan di antara parti dan kerajaan dengan di antara Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Akibatnya mereka mengkhianati amanah dan mengetepikan asas serta dasar perjuangan parti dan hukum-hakamnya.

Mereka lupa bahawa PAU adalah badan pembuat dasar tertinggi parti. Di situlah aspirasi dan kepentingan ahli parti diperjuangkan dan ditegakkan.

Tetapi kerana kuasa, sogokan dan peras ugut, majoriti pemimpin atasan Umno telah melencongkan arah tuju PAU dengan menjadikannya seolah-olah mesyuarat Kabinet untuk menyokong kerajaan dan ikut telunjuk Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.

Mereka mengabaikan tugas dan hak istimewa Umno sebagai parti yang berkuasa ke atas kerajaan sebaliknya membenarkan parti diperkuda oleh  kerajaan, khususnya oleh Perdana Menteri dan konco-konco beliau.

Mereka lupa bahawa Umno mendahului kerajaan. Sebelum ada kerajaan, Umno sudah ada. Kerajaan laku selama lima tahun sahaja, tetapi Umno laku sepanjang masa selagi mendapat sokongan orang Melayu. 

Bahana Pemimpin Dangkal

Nampak sangat dangkal dan korupnya pemikiran Ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi-pengerusi Perhubungan Negeri, Ketua-ketua dan ahli Jawatankuasa Bahagian apabila mengorbankan parti kerana mempertahankan perbuatan Perdana Menteri.

Mereka tidak kisah akan hakikat bahawa Perdana Menteri melakukan apa yang beliau lakukan tanpa berunding atau memberitahu Umno.

Hanya setelah didedahkan dan tersepit barulah beliau dan tukang ceritanya membuat helah kononnya apa yang beliau lakukan itu adalah untuk Umno.

Kalau apa yang beliau lakukan itu untuk Umno, sekalipun seandainya salah dari segi undang-undang dan konvensyen, ia tetap salah. Umno tidak boleh diseret untuk bersubahat.

Tugas pemimpin Umno yang beriman dan bermoral bukan mempertahankan perbuatan salah Perdana Menteri atau mana-mana ahli.

Tugas pemimpin Umno yang beriman dan bermoral adalah mempertahankan nama baik Umno dan maruah orang Melayu serta Islam.

Akibat sesat jalan inilah Umno berpecah-belah, dihina dan disyaki. Kerana bersekongkol mempertahankan perkara yang salah sehinggakan sampai hendak berdepan dengan media massa pun takut. 

Lari sana lari sini. Sembunyi sana sembunyi sini macam kawar, kata orang Utara. Kawar adalah salah sebut orang Kedah terhadap istilah Inggeris “coward” - penakut.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: