Isnin, 23 November 2015

Lebih ramai calon wanita akan bertanding wakili PKR pada PRU14 - Zuraida

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Lebih ramai calon wanita akan bertanding merebut kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mewakili PKR, demikian kata ketua sayap itu Zuraida Kamaruddin.
 
Selain itu beliau juga menegaskan sayap itu juga akan memastikan kerusi yang ditandingi calonnya pada pilihan raya umum lalu dikekalkan.  
 
"Ya, insya-Allah akan bertambah dan kita sudah meminta serta memastikan bahawa kerusi yang ditandingi wanita pilihan raya umum yang lepas tetap dikekalkan sebagai kerusi wanita.
 
"Kita juga akan ada tambahan kerusi untuk wanita, kali ini kita dapat mencungkil beberapa calon muda untuk ke depan dan bertanding dalam PRU14," katanya kepada Antarapos.
 
Untuk rekod, medan perjuangan politik kini menjadi pilihan kepada golongan wanita selepas seramai 168 orang atau lapan peratus daripada keseluruhan 1,900 calon yang bertanding sama ada mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang mahupun Bebas di seluruh negara pada PRU13 lalu.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak 56 wanita bertanding di kerusi Parlimen manakala 112 calon di kerusi DUN.
 
Selain BN yang menampilkan sebanyak 22 calon wanita di Parlimen dan 49 di DUN, pembangkang turut tidak ketinggalan mengetengahkan golongan wanita mewakili parti mereka.
 
PAS misalnya, menampilkan sebanyak 25 calon wanita, PKR sebanyak 30 calon, DAP (22 calon) manakala selebihnya mewakili pelbagai parti politik lain.
 
Mahu tampil calon dari pelbagai latarbelakang dan umur
 
Mengulas kriteria calon, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata individu itu perlu seorang yang berkaliber selain memahami dan menjiwai dasar perjuangan parti.
 
"Memandangkan dalam keadaan sekarang ini masanya memerlukan mereka yang berkelayakan, berkaliber tidak kira daripada akar umbi ataupun luar.
 
"Tapi haruslah mempunyai sekurang-kurangnya penerapan atau penjiwaan dari segi gerak kerja parti dan matlamat perjuangan parti," katanya.
 
Beliau menambah PKR bakal mewarnai pentas PRU14 dengan menampilkan calon-calon muda yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang.
 
"Yang keduanya semestinya calon-calon itu dari segi kelayakan akademiknya berbeza-beza dan kali ini ada peguam.
 
"Ada anak-anak muda yang baru tamat pengajian tinggi yang dah memang bersama dengan PKR dan kali ini sudah bersedia ke depan untuk menjadi calon," katanya.
 
**Wanita PKR mahu calon mampu depani arus politik negara**
 
Ujar wakil rakyat penggal kedua ini, selain calon muda pihaknya turut akan mengetengahkan ahli-ahli yang sudah lama dengan parti selain mempunyai keupayaan mendepani arus politik tanah air.
 
"Tapi bagi mereka yang kurang kelayakan dari segi pendidikan seperti tiada ijazah namun mereka adalah penggerak akar umbi. 
 
"Maka atas dasar itu pun dengan pengalaman mereka, mengikut isu semasa dan mereka mampu membawa isu-isu ini di DUN atau Dewan Rakyat sekiranya mereka menang," katanya.
 
Justeru Zuraida berkata pihaknya masih dalam proses pencarian calon dan sesiapa sahaja boleh dipilih mewakili PKR pada PRU14 nanti. 
 
"Tidak bukan pendidikan sahaja, memang kita perlu itu juga terutama sekali di kalangan anak muda tapi di kalangan mereka yang sudah lama dengan parti atau yang sudah veteran kita mengambil kira bukan sahaja kelayakan.
 
"Bermakna kelayakan menjadi perkara kedua tapi perjuangan mereka dalam parti, mereka lebih menjiwai, faham, mereka mengikut peredaran politik semasa dan mereka faham pergolakan yang berlaku.
 
"Itu boleh melayakkan mereka menjadi calon," katanya.
 
Untuk rekod, Pada pilihan raya umum 2008, seramai 120 calon wanita bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dun terdiri daripada 61 (BN), 18 (DAP), 24 (PKR), 13 (PAs), 3 (Bebas) dan seorang (Bersekutu).
 
 

Tiada ulasan: