Khamis, 5 November 2015

KENAPA NAJIB TERUS MENERUS BERANI MEMBEBANKAN KEHIDUPAN RAKYAT?

shahbudindotcom


Oleh kerana debat 1MDB akhirnya sah tidak menjadi kenyataan berikutan Arul Kanda Kandasamy sendiri enggan berdebat dengan Rafizi Ramli yang dinamakan oleh Pakatan Harapan untuk menggantikan Tony Pua atas alasan Speaker Parlimen tidak membenarkannya,  maka topik kali ini juga turut berbeza sedikit.

Kali ini saya ingin menyentuh tentang tindakan kerajaan yang tidak henti-henti dan terus-menerus melakukan kenaikan dalam kos hidup rakyat.

Ketika ini harus diakui  satu demi satu beban peningkatan kos hidup sedang menimpa rakyat. Ia seolah-seolah bertali arus tanpa hentinya sedangkan secara logiknya, sesebuah kerajaan semestinya bimbang dengan kenaikan kos hidup rakyat.

Kenaikan kos hidup akan menyebabkan rungutan rakyat meningkat dan seterusnya boleh menjejaskan peluang mengekalkan kuasa dalam pilihanraya yang merupakan proses pengadilan terbuka untuk sesebuah kerajaan.

Dalam masa yang sama, fenomena in juga menunjukkan kerajaan pimpinan Najib Razak bagaikan tidak kisah lagi dengan segala janji dan harapan yang pernah ditaburnya semasa kempen pilihanraya lalu.

Kenapa Najib dan kerajaan tidak kisah langsung dan terus juga melakukan pelbagai kenaikan?

Belum habis dengan rungutan tentang kenaikan kadar tol dalam bandar, secara tiba-tiba rokok dan tambang komuter pula dinaikkan harganya. Selepas ini, entah apa lagi agaknya yang akan dinaikkan harganya.

Walaupun saya tidak merokok, tetapi kenaikannya sebanyak hampir 40 peratus dan menjadikan harganya RM17 sekotak berikutan kenaikan yang terbaru ini, ia dikira agak melampau dan membebankan perokok. 

Kenapa sampai begitu tinggi kenaikannya?

Jika soal bahaya dan kehidupan sihat rakyat yang diutamakan, mengapa tidak terus diisytiharkan haram saja? 

Adakah kenaikan yang tinggi itu lebih bertujuan untuk menampung kantung perbendaharaan negara yang semakin kosong?

Dalam kes rokok ini, di kalangan orang UMNO dan penyokong BN sendiri kedengaran ramai yang tidak senang dengannya. Mereka menganggap kerajaan seolah-olah ingin mendera dan menambahkan lagi sengsara kehidupan perokok.

Begitu juga dengan tol, saya turut mendengar seorang bekas Ketua Pengarah sebuah jabatan kerajaan juga merungut dengan mengatakan kenaikan itu cukup terasa dan agak membebankan berikutan beliau kerap melalui tol Penchala yang dulu bayarannya cuma RM2, tetapi kini sudah menjadi RM3 sehala.

Sebelum ini, subsidi petrol serta diesel juga dimansuhkan dan cukai GST enam peratus diperkenalkan.

Pendekata, dengan segala kenaikan itu, untuk seorang pekerja biasa di sekitar Lembah Kelang, menyediakan RM50 sehari untuk menampung kehidupan sudah tidak mencukupi lagi.

Dalam masa yang sama, gaji dan pendapatan bulanan tetap statik dan tidak pula meningkat. 

Apakah ada kerajaan lain di dunia ini yang melakukan kenaikan berturut-turut sebegini rupa? 

Tidak bimbangkan Najib dengan masa depan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang apabila terus menerus melakukan kenaikan dan membebankan rakyat sedangkan imejnya sudah sedia merudum?

Jawapannya juga mudah - selagi masih ramai yang tidak kisah, malah sanggup mempertahankan Najib berkaitan wang RM2,600 juta yang disahkan masuk ke akaun peribadinya, kemudian memecat beberapa individu yang mempersoal serta sedang menyiasatnya, malah terus dipertahankan lagi, maka selagi itulah beliau sebenarnya tidak bimbang apa-apa untuk membebankan kehidupan rakyat.

Pemimpin yang menerima wang sebesar itu memang buruk sifatnya, tetapi kesediaan menyokong dan mempertahankan pemimpin sebegitu  jauh lebih terhina, apatah lagi jika turut tidak segan-segan memindahkan kegagalan mentadbir kepada rakyat untuk menanggung sengsaranya.

Iltizam menolak Najib kali ini mesti lebih kuat daripada biasa, jika tidak, lebih banyak sengsara bakal menjelma.


Tiada ulasan: