Khamis, 5 November 2015

Janji Najib tubuh Jawatankuasa Sosma luput



Oleh Ooi Heng


Susulan kenyataan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 3 November, 2015 badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) ingin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, janji beliau menubuhkan jawatankuasa menyemak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 apabila Akta Sosma dikuatkuasakan luput selama 3 tahun 3 bulan 3 hari.

KPRU menyemak penyata rasmi Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan mendapati pada 3 November 2015, iaitu pada hari Gani memberikan ucapan dalam forum dianjurkan Majlis Peguam bertajuk

"Sosma – Serigala dalam badan kambing?" di Kuala Lumpur, jaminan diberikan perdana menteri semasa beliau membuat bacaan kali kedua rang undang-undang (RUU) Sosma 2012, luput.

Pada 16 April, 2012 semasa mencadangkan RUU Sosma 2012 dibacakan kali kedua, perdana menteri memberikan jaminan yang berbunyi seperti berikut:

“Lindung jamin keenam ialah apabila akta ini berkuat kuasa, kerajaan juga akan menubuhkan satu jawatankuasa secara pentadbiran untuk menyemak keseluruhan akta ini daripada semasa ke semasa dan jawatankuasa ini akan juga bertanggungjawab untuk meneliti pelaksanaan akta tersebut dan mengemukakan syor untuk penambahbaikan.”

Perdana menteri juga menyatakan dalam Majlis Dewan Rakyat pada hari tersebut: “Jawatankuasa ini akan dianggotai bukan saja agensi berkenaan tetapi juga presiden Majlis Peguam dan Suhakam.”

KPRU mendapati, jaminan yang sama diulang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Liew Vui Keong pada 8 Mei, 2012.

KPRU juga menyemak status Akta Sosma dan mendapati Akta Sosma diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun, 2012 diwartakan pada 22 Jun, 2012 sebagai Akta 747 dan dikuatkuasa pada 31 Julai, 2012.

* Penulis ialah pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Tiada ulasan: