Khamis, 26 November 2015

Iskandar nafi tanding kerusi Kota Raja, Tanjong Karang

MALAYSIAKINI


 


Exco PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad menafikan khabar angin kononnya beliau akan bertanding di kerusi parlimen Kota Raja atau Tanjong Karang pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu hanyalah spekulasi yang sengaja dimainkan pihak tertentu ekoran kekerapan beliau ke kawasan itu.

"Mungkin ini terjadi kerana saya kerap ke kedua-dua kawasan tersebut," kata pesuruhanjaya PAS Selangor itu.

"Setakat ini PAS Selangor hanya membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2013," katanya lagi.

Kerusi parlimen Kota Raja kini diwakili bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Dr Siti Mariah Mahmud yang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sementara kerusi Tanjong Karang pula adalah kerusi tradisi PAS tetapi kini diwakili anggota parlimen BN Datuk Seri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Iskandar turut menafikan kononnya PAs negeri itu membuat keputusan tentang calon dan kerusi tambahan DUN atau parlimen yang mungkin ditandingi pada pilihan raya umum ke-14.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa PAS Selangor belum lagi membuat sebarang keputusan tentang calon-calon pilihan raya umum yang akan datang.

"Begitu juga keputusan belum dibuat tentang kerusi-kerusi tambahan, sama ada Dewan Negeri atau Parlimen, yang mungkin ditandingi," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin tersebut kerana perkara itu terlalu awal untuk dibincangkan.

"Sekarang adalah masa untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha membela nasib rakyat dan membangunkan negeri," katanya.


Tiada ulasan: