Isnin, 30 November 2015

Husam: Saya sudah hantar surat cinta


Husam Musa
Husam Musa - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengakui sudah menyerahkan 'nota cinta' kepada anggota Dewan Harian Pas Pusat.

Husam berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan yang ditetapkan beliau dan Pas ekoran dakwaan beliau terhadap Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merancang bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno selepas PRU12 pada 2008.

Ditanya mengenai isi kandungan nota terbabit, Husam menjawab, nota tersebut hanya berkisar mengenai pandangannya terhadap survival parti dan kekuatan kerajaan pada masa akan datang.

"Nota cinta saya itu hanya tentang survival parti, kekuatan kerajaan dan perpaduan ahli Pas.

"Pas menerima nota tersebut dan perjumpaan berjalan dengan mesra dan baik. Perbincangan berjalan secara dua hala dan saya ada memberikan sedikit penjelasan kepada mereka dan Dewan Harian memberikan pandangan mereka.

"Keseluruhannya saya sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada Pas Pusat kerana menyediakan saluran ini untuk saya menyampaikan pandangan saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Agung Pas di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi perbincangan yang berlangsung bersama pihak Pas.

Ditanya mengenai penerimaan Pas terhadap penjelasannya, Husam berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk mendengar pandangan dan penjelasan yang diberikan oleh beliau.

"Mungkin akan ada perjumpaan susulan dengan Pas selepas ini," jawabnya ringkas.


Tiada ulasan: