Ahad, 22 November 2015

Halang semak daftar pemilih, SPR patut mansuhkan Seksyen 9A

spr

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memansuh Seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 bagi mengelakkan pembaziran RM150 juta yang diperuntuk bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, berkata ia berikutan seksyen itu menghalang rakyat dari mencabar kesahihan daftar pemilih melalui proses mahkamah walaupun ia membabitkan kepentingan awam.

“Adakah pemegang kad pengenalan meragukan seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sudah dibersihkan?

“Apabila ‘warganegara ekspress’ digunakan pihak tertentu untuk mengundi dan menentukan masa depan negara, ia amat bahaya dan tidak wajar,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Jimmy Wong Sze Phin
Pengerusi DAP Sabah itu turut mempersoal sama ada peruntukan kewangan mengikut perkara Bekalan B4 melibatkan urusan kemas kini daftar pemilih.

Beliau merujuk kepada Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016 untuk mengkaji semula peralatan pilihan raya, borang pilihan raya, proses pendaftaran pemilih, filem latihan pendaftaran pemilih dan perjalanan pilihan raya bagi mengurangkan kos pilihan raya.

Jimmy Wong juga mengingatkan semua pihak mengenai kes penahanan 15 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melibatkan pemberian kad pengenalan biru pada 1995, malah pemberian seumpama itu kepada warga asing bukan lagi rahsia.

“Ini baru satu kes dari banyak kes yang didedah. Masih banyak lagi yang dilaporkan sama ada melalui media ataupun RCI Pendatang Asing di Sabah.

“Ada banyak sebab bagaimana warga asing mendapat kad pengenalan dengan mudah. Pertamanya kerana sindiket menjual kad pengenalan, keduanya ialah Projek IC untuk tujuan politik,” katanya.


Tiada ulasan: